Tak perlu selalu kemas kini status kesihatan di MySejahtera, kata MKN


PENGGUNA aplikasi MySejahtera tidak perlu sentiasa mengemas kini status kesihatan mereka, kata Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Pengarah MKN Mohd Rabin Basir dipetik Sin Chew Daily berkata kemas kini hanya perlu dibuat dalam keadaan tertentu sahaja.

Beliau mengulas laporan berita mengenai beberapa pekerja kilang di Perak dikompaun kerana gagal mengemas kini status kesihatan di aplikasi MySejahtera ketika memasuki tempat kerja.

Rabin berkata mengikut prosedur operasi standard terkini (SOP) terkini yang dikeluarkan MKN, pengguna tidak perlu mengemas kini status kesihatan melainkan mula mengalami gejala Covid-19, membuat perjalanan ke luar negara, menjadi kontak rapat pesakit Covid-19 atau disahkan dijangkiti virus itu.

“Mengikut SOP MKN, jika ada pekerja kilang disahkan positif Covid-19, maka semua pekerja perlu mengemas kini status kesihatan melalui MySejahtera,” beliau dipetik berkata.

Sabtu lalu, 31 pekerja kilang ayam di Perak dikompaun antara RM1,500 hingga RM2,000 kerana tidak mengemaskini status kesihatan di aplikasi MySejahtera ketika memasuki tempat kerja.

Mereka dikompaun semasa pihak berkuasa menjalankan pemantauan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan di Kawasan Perindustrian Kampung Acheh di Sitiawan, Perak.

Rabin juga dipetik Sin Chew Daily berkata berkata jabatan kesihatan negeri perlu membatalkan kompaun tersebut, melainkan jika terdapat pekerja disahkan positif Covid-19. – 7 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen