156 Pati ditahan dalam serbuan di Cyberjaya


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata seramai 156 warga asing ditahan dalam operasi di Cyberjaya malam tadi kerana tidak mempunyai dokumen yang sah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 7 Jun, 2021.

RATUSAN pekerja asing ditahan Jabatan Imigresesn dalam satu operasi bersepadu di Cyberjaya malam tadi.

Serbuan dibuat selepas Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin baru-baru berkata operasi besar-besaran akan dijalankan sepanjang 14 hari sekatan pergerakan penuh bagi menahan pendatang asing tanpa izin (Pati).

Operasi itu katanya dilaksanakan bagi memastikan golongan itu mempunyai dokumen sah bagi tujuan vaksinasi.

Pengumuman itu mengundang kritikan pelbagai pihak kerana akan merencatkan usaha mencapai imuniti kelompok.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud ketika ditemui pemberita di lokasi malam tadi berkata, daripada 202 warga asing diperiksa, 156 tidak ditahan kerana tidak mempunyai dokumen yang sah.

“Kita lepaskan 46 orang yang ada dokumen, manakala 156 lagi ditahan. Mereka akan dibawa untuk menjalani ujian saringan Covid-19 dahulu.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 144 lelaki dan 12 wanita. Seramai 42 orang adalah warga Indonesia, 62 Bangladesh, 20 Nepal, 29 Myanmar dan masing-masing satu dari India dan Pakistan,” katanya.

Khairul Dzaimee juga berkata rumah kongsi pekerja didapati tidak memenuhi Akta Standard-Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990.

“Rumah kongsi sempit dan kotor, tidak mengikut piawaian.”

Imigresen katanya akan terus melakukan serbuan sepanjang tempoh sekatan pergerakan.

“Kita akan teruskan operasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Operasi hanya untuk menahan pekerja asing tanpa dokumen sah,” ujarnya.

Sekatan pergerakan penuh dikuatkuasakan mulai 1 hingga 14 Jun, sebagai langkah untuk menurunkan kes Covid-19 yang kembali melonjak sejak awal April.

Setakat semalam, negara mencatat  6,241 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan 616,815 kes.

Seramai 3,378 orang meninggal dunia sehingga kini selepas 87 kematian dilaporkan semalam. – 7 Jun, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen