Buah kurang, harga durian dijangka melambung


Khoo Gek San

Harga durian dijangka melambung tahun ini ekoran kurang bekalan disebabkan keadaan cuaca. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2021.

HARGA durian dijangka melambung tahun ini ekoran pengeluaran buah itu merosot atas faktor cuaca, kata peladang dan peniaga.

Dusun durian di Pulau Pinang biasanya menuai hasil antara Jun hingga akhir Julai, manakala di Johor dan Pahang mulai pertengahan Jun hingga Ogos.

Bagaimanapun, hujan lebat menyebabkan bunga dan putik durian jatuh sebelum matang, kata Chang Teik Seng, pemilik Ladang Durian Bao Sheng di Pulau Pinang.

Chang menjangkakan harga durian akan naik 10% kerana pengeluaran buah itu susut 30% dari Jun hingga Julai berbanding tempoh sama tahun lalu.

Bekas pengarah bahagian eksport Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) ketika dihubungi The Malaysian Insight berkata, kebanyakan durian yang ditanam di Pulau Pinang adalah untuk pasaran dalam negeri.

Kebanyakan dusun durian di Sungai Pinang dan Balik Pulau di negeri itu juga banyak sudah diubah menjadi inap desa sebelum negara dilanda pandemik Covid-19 untuk menarik minat pembeli, tetapi terpaksa ditutup ekoran sekatan rentas negeri.

Sekatan rentas negeri bagi membendung jangkitan Covid-19 menjejaskan pendapatan pengusaha inap desa di dusun durian, kata Chang. Beliau kini terpaksa bergantung pada pembeli tempatan.

“Inap desa di dusun saya terpaksa tutup buat masa ini. Jadi, saya terpaksa bergantung pada pembeli Pulau Pinang kerana pembeli dari Kuala Lumpur tak boleh datang sini.”

Putrajaya pada 28 Mei lalu umum penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara selama 14 hari, 1 hingga 14 Jun.

Jika fasa pertama berjaya mengurangkan kes harian Covid-19, perintah penutupan penuh fasa kedua akan dilaksanakan, yang akan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak membabitkan perhimpunan besar dan boleh mematuhi penjarakan fizikal.

Fasa dua akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas fasa pertama berakhir.

Chang bagaimanapun menjangkakan pembeli tidak akan berbelanja banyak seperti sebelum pandemik.

“Umumnya, ada dua jenis peminat durian. Yang mampu dan tidak kisah harga naik atau tidak.

“Lagi satu pula, pembeli yang berbelanja dengan berhemah. Kalau ada duit pun, mereka hanya akan beli tiga atau lima biji, tidak mustahil kalau lebih kurang dari itu,” katanya.

Tambahnya, durian kini terpaksa dijual dalam talian semasa pandemik.

“Peminat tegar durian sudah pasti akan cari, walaupun terpaksa beli dalam talian.” 

Eksport

Berbeza di Johor dan Pahang, permintaan terhadap durian yang ditanam di dua negeri itu mendapat permintaan tinggi di luar negara.

Durian terutamanya jenis Musang King dan D24 kebanyakannya ditanam di Bentong dan Raub di Pahang, serta Johor. Jenis-jenis lain adalah Lipan, Kunpoh Angbak, Little Red, Kapri, D11, Kunjit, Udang Merah dan Duri Hitam.

Permintaan eksport terhadap durian Musang King dalam bentuk sebiji penuh meningkat dua kali ganda berbanding bentuk isi dan pes semasa pandemik, kata Pengarah Top Fruits Sdn Bhd Tan Sue Sian.

Tahun lalu, jumlah durian sejuk beku keluaran Top Fruits yang dieksport ke China, Hong Kong, Macau, Jepun, Taiwan, Indonesia, Amerika Syarikat, Australia dan Eropah naik sehingga 50%.

China misalnya mula mengeksport durian sebiji penuh sejuk beku dari Malaysia sejak 2019. – 8 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen