Kes, kematian naik tak berkait dengan kluster, kata Noor Hisham


Raevathi Supramaniam

Pekerja kesihatan dan ahli keluarga mangsa maut akibat Covid-19 bersedia mengebumikan orang tuanya di Kampung Sungai Pusu di Gombak, Selangor hari ini. Noor Hisham hari ini mencadangkan orang ramai pakai dua pelitup muka serta pelindung muka ketika berkunjung ke tempat berisiko tinggi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 6 Jun, 2021.

PENINGKATAN jangkitan dan kematian akibat Covid-19 baru-baru ini menjadi trend membimbangkan kerana ia berkait dengan kes sporadik, bukan mana-mana kluster, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata pada minggu epidemiologi (ME) ke-13 (hingga 3 April), jumlah kes sporadik yang dilaporkan adalah 8,968 kes atau 52% daripada jumlah kes yang dilaporkan.

Katanya angka ini terus meningkat, dengan negara melaporkan sejumlah 52,040 kes sporadik pada ME ke-22 (hingga 5 Jun).

Ini menyumbang kepada 84.3% daripada jumlah jangkitan.

ME adalah kaedah kiraan standard untuk membolehkan perbandingan data Covid-19 yang dikumpulkan.

Noor Hisham berkata, jumlah kematian yang berkaitan dengan kes sporadik juga meningkat antara minggu ke-13 dan 22.

Sepanjang minggu ke-13, dari 35 kematian dilaporkan, 26 dikaitkan dengan kes sporadik.

Sementara pada minggu ke-22, dari 641 kematian dilaporkan, 559 adalah kes sporadik.

Katanya salah satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes sporadik dan kematian yang berkaitan dengannya adalah kerana munculnya varian koronavirus baharu dalam masyarakat.

Varian ini, kata Noor Hisham, mempunyai kadar jangkitan yang lebih tinggi dan menyumbang kepada lebih banyak kematian.

Katanya varian baharu ini boleh ada di pusat membeli-belah dan tempat kerja oleh itu beliau menggesa semua orang untuk berjaga-jaga.

Selain tidak keluar sesuka hati dan memakai pelitup muka, kini Noor Hisham mencadangkan pemakaian pelitup muka berganda di tempat sesak dan pelindung muka tambahan ketika mengunjungi tempat berisiko tinggi seperti hospital.

Hari ini negara melaporkan 87 kematian, menurun setelah empat hari berturut-turut melaporkan lebih 100 kematian.

Sejumlah 3,378 kematian telah dilaporkan di negara ini sejak bermulanya pandemik.

Bagaimanapun, jumlah pesakit Covid-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) berada pada tahap tertinggi dengan 890 pesakit, rekod baharu ketika pandemik makin teruk.

Sebelum ini, jumlah tertinggi pesakit yang dirawat di ICU adalah 886 orang.

Noor Hisham Abdullah berkata, 444 pesakit di ICU kini menggunakan alat bantuan pernafasan. – 6 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen