Sampel lembu dijangkiti LSD dihantar ke makmal, kata veterinar Perak


Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Razman Zakaria berkata pihaknya sedang menunggu keputusan ujian dan setakat ini tiada lembu yang dilupuskan kerana penyakit itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2021.

JABATAN Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak telah mengambil sampel lembu dari sebuah ladang di Simpang Pulai, Ipoh, untuk diuji di makmal selepas ternakan di ladang berkenaan disyaki dijangkiti penyakit kulit kental /berbonjol (LSD).

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Razman Zakaria berkata pihaknya sedang menunggu keputusan ujian dan setakat ini tiada lembu yang dilupuskan kerana penyakit itu.

“Kita sudah ambil sampel untuk dibawa ke makmal namun kita belum mendapat pengesahan mengenai penyakit LSD,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Pusat Pengumpulan Ladang (PPL) di Kampung Bawah Gunung, Kampung Perak dekat Batu Kurau hari ini.

Awal bulan ini, JPV Perak mengesan penularan penyakit LSD yang berlaku di beberapa negara Asia sebelum ini, telah menjangkiti ternakan lembu dan kerbau di ladang berkenaan.

Beberapa negara dilaporkan telah mengesan penularan penyakit LSD yang menjangkiti ternakan lembu dan kerbau sejak 2019 antaranya Bangladesh (Julai 2019), India (Ogos 2019), China (Ogos 2019), Bhutan (Oktober 2020), Hong Kong (November 2020), Sri Lanka (Januari 2021) dan terbaharu di Thailand (April 2021). – Bernama, 6 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen