AS bersama Eropah untuk lawan ancaman Rusia, kata Biden


Kedua-dua pemimpin bagaimanapun telah menyatakan harapan bahawa hubungan dapat diperbaiki, dengan presiden Rusia berkata pada Jumaat beliau mengharapkan hasil "positif" dari rundingan tersebut. – Gambar AFP, 6 Jun, 2021.

AMERIKA Syarikat akan menyebelahi Eropah berbanding Rusia, kata Presiden Joe Biden menjelang pertemuan pertama dengan Vladimir Putin.

Biden akan ke Eropah pada Rabu bagi menghadiri sidang kemuncak G7 dan Nato selain mengadakan perjumpaan penting dengan pemimpin Rusia di Geneva pada 16 Jun.

Sidang kemuncak itu diadakan di tengah krisis terbesar hubungan antara dua negara itu sejak bertahun-tahun lamanya, dengan ketegangan tinggi kerana pelbagai isu termasuk tuduhan penggodaman, hak asasi manusia dan dakwaan campur tangan dalam pemilihan Presiden AS.

Melalui editorial Washington Post diterbitkan Sabtu, presiden AS berjanji untuk memperkukuhkan lagi “pakatan demokratik” Washington dalam menghadapi pelbagai krisis dan ancaman yang semakin meningkat dari Moscow dan Beijing.

“Kami berdiri teguh untuk menangani cabaran Rusia terhadap keamanan Eropah, bermula dengan pencerobohannya di Ukraine, dan AS tidak ragu-ragu mempertahankan nilai-nilai demokrasi, yang tidak dapat kita pisahkan dari kepentingan kita,” tulisnya.

“Presiden Putin tahu saya tidak akan teragak-agak bertindak balas terhadap aktiviti berbahaya di masa depan,” katanya. “Bila kita bertemu, saya sekali lagi akan menekankan komitmen Amerika Syarikat, Eropah dan demokrasi bagi menjunjung membela hak asasi manusia dan maruah.”

Sejak memegang jawatan pada Januari, Biden telah meningkatkan tekanan terhadap Kremlin, selain membuat komen menyamakan Putin sebagai “pembunuh” di mana mendapat tentangan sengit Moscow.

Bagaimanapun kedua-dua pemimpin telah menyatakan harapan bahawa hubungan dapat diperbaiki, dengan presiden Rusia berkata pada Jumaat beliau mengharapkan hasil “positif” dari rundingan tersebut.

Biden turut menekankan Washington “tidak cari pasal” - menunjukkan lanjutan perjanjian pengurangan senjata New START sebagai bukti untuk kurangkan ketegangan.

“Kami mahukan hubungan stabil dan dapat diramalkan di mana kami dapat bekerjasama dengan Rusia dalam masalah seperti kestabilan strategik dan kawalan senjata,” tulisnya. – AFP, 6 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen