SEKUMPULAN perompak lembu membunuh 66 orang dalam rompakan di tujuh perkampungan dekat barat laut Kebbi, Nigeria.
Jurucakap polis Nafiu Abubakar berkata suspek yang menaiki motosikal menyerang perkampungan di daerah Danko-Wasagu, Khamis lalu.
“Polis mengesahkan 66 terbunuh dalam serangan di kampung Koro, Kimpi, Gaya, Dimi, Zutu, Rafin Gora dan Lguenge.
“Siasatan masih dijalankan bagi menilai kerosakan yang berlaku dalam serangan itu dan usaha mencari mayat lain sedang giat dilakukan,” katanya.
Nafiu berkata polis turut ditempatkan di kawasan berkenaan bagi mengelak sebarang risiko serangan susulan, sementara penduduk mengambil keputusan meninggalkan kediaman masing-masing dan mencari tempat perlindungan.
Suspek di sebalik insiden itu dipercayai melakukan serangan dari negeri berdekatan, iaitu sama ada Zamfara atau Niger yang dikenal pasti menjadi sarang penjenayah.
Pada April, Nafiu berkata sembilan anggota polis terbunuh dalam satu insiden berbalas tembakan selepas suspek menceroboh perkampungan di daerah berdekatan Sakaba untuk mencuri haiwan ternakan.
Barat laut dan tengah Nigeria dikenali sebagai lokasi kegiatan jenayah pencuri lembu yang lazimnya menyerbu kawasan perkampungan dan membakar kediaman, selain membunuh serta menculik penduduk untuk menuntut wang tebusan.
Kmpulan penjenayah ini dikesan berada di sekitar hutan Rugu meliputi negeri Zamfara, Katsina, Kaduna dan Niger. – AFP, 6 Jun, 2021.
Komen