Penumpang pesawat rempuh masuk kokpit di AS


Pesawat Delta Air Lines dari Los Angeles ke Nashville terpaksa melakukan pendaratan cemas selepas seorang penumpangnya cuba memasuki ruang kokpit. – Gambar fail EPA, 6 Jun, 2021.

SEBUAH pesawat Delta Air Lines yang berlepas dari Los Angeles ke Nashville terpaksa melakukan pendaratan cemas selepas seorang penumpangnya cuba memasuki ruang kokpit.

Insiden itu menyebabkan penumpang lain dan anak kapal terpaksa memukul dan menjatuhkannya, kata saksi.

Penerbangan terbabit terpaksa melakukan pendaratan cemas di Albuquerque, New Mexico, sebelum suspek lelaki itu diseret keluar daripada pesawat dengan tangan dan kakinya diikat.

Suspek berulang kali menjerit “hentikan pesawat ini” ketika bergelut di depan kabin, berdasarkan rakaman kamera telefon dalam kejadian pada Jumaat.

Seorang penumpang yang enggan namanya disiarkan memberitahu CNN, suspek itu tiba-tiba bangun dan bergegas ke kabin juruterbang dan mula memukul pintu kokpit.

FBI di Albuquerque mengesahkan kejadian itu.

Delta Air dalam satu kenyataan kepada media Amerika Syarikat (AS), mengucapkan terima kasih kepada anak kapal dan penumpang pesawat Delta 386, LAX ke Nashvilee yang membantu menahan penumpang terbabit. – AFP, 6 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen