Selangor kesan lebih banyak kes Covid-19 selepas ujian saringan 


Raevathi Supramaniam

Kerajaan negeri Selangor menjalankan ujian saringan besar-besaran secara lebih agresif di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2021.

UJIAN saringan yang dijalankan kerajaan negeri dan kegagalan untuk menjalankan ujian, pengesanan dan pengasingan kes Covid-19 dengan lebih pantas menjadi punca utama lonjakan kes yang dikesan di Selangor, kata Pengerusi Selangor Task Force Covid-19 Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau juga berkata kluster yang berasal dari majlis sosial seperti sambutan Hari Raya dan perhimpunan keagamaan turut menyumbang peningkatan kes. 

“Pertama, jumlah berkenaan hasil ujian saringan komuniti yang kami jalankan, bermula seawal akhir tahun lalu kerana kini kita menjalankan ujian saringan besar-besaran dengan lebih agresif.

“Kita sudah mencapai lebih separuh daripada 56 lokaliti di Selangor. 

“Kedua, peningkatan kes adalah kesan daripada kegagalan untuk ujian saringan dan pengesanan lebih pantas, yang membawa kepada kegagalan mengasingkan kes positif dari kluster tempat kerja, terutamanya individu yang tidak bergejala,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Bekas menteri kesihatan itu berkata setakat 2 Jun, Selcare yang menyelia program penjagaan kesihatan negeri, telah menjalankan 81,971 ujian RTK-Antigen dan mengesan 3,104 kes positif Covid-19.

Lonjakan kes di negeri ini, kata Dr Dzulkefly juga diburukkan lagi oleh pesakit Covid-19 tanpa gejala yang mengambil bahagian dalam perjumpaan sosial.

“Kluster yang berpunca daripada perjumpaan sosial sekitar 20% atau upacara keagamaan, sekitar 18%, juga menyumbang kepada peningkatan jumlah kes.

“Dengan mereka berkeliaran dan menjangkiti orang lain secara tidak sengaja, kes-kes baru meningkat dengan cepat dan ‘sporadik’ atau kes-kes yang ‘tidak berkaitan’ dengan kluster sedia ada.

“Dengan penularan kepada masyarakat yang sebahagian besar masih belum diperiksa, kerana kekurangan ujian saringan, tidak hairanlah jumlahnya tetap tinggi,” katanya.

Setakat 3 Jun, Selangor sahaja merekodkan 3,000 kes Covid-19, daripada 8,209 jumlah keseluruhan di seluruh negara. Ia merupakan negeri tertinggi yang merekodkan kes harian jangkitan dan trend ini berterusan sejak beberapa bulan lalu.

Pengerusi Selangor Task Force Covid-19 Dr Dzulkefly Ahmad berharap ujian saringan besar-besaran yang dijalankan oleh kerajaan Selangor dapat membantu mengurangkan kes jangkitan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2021.

Dr Dr Dzulkefly berkata kadar positiviti turut melepasi 5% yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

Bulan lalu Menteri Kesihatan Dr Adham Baba mendedahkan kadar positiviti di Malaysia kini adalah pada 6.89%.

Kadar positiviti menunjukkan sebahagian kes positif Covid-19 yang dikesan daripada jumlah keseluruhan ujian saringan yang dijalankan. 

Kadar positiviti lebih tinggi menandakan bahawa ujian saringan perlu dipertingkatkan kerana kemungkinan lebih ramai yang dijangkiti dalam komuniti namun masih belum dikesan. 

“Sekiranya lebih tinggi daripada 5% bermakna masih banyak kes positif yang belum dikesan dalam kluster komuniti atau tempat kerja dan sebagainya, yang berkemungkinan juga tidak bergejala. 

“Kumpulan pesakit Kategori 1 (tanpa gejala) ini yang sama ada tanpa atau (dengan) gejala yang sangat ringan dibiarkan ‘berkeliaran’ tidak diperiksa. Individu ini membentuk ‘takungan jangkitan’ untuk lebih menular atau kluster pada masa akan datang,” katanya.

Kerajaan persekutuan lambat melancarkan ujian besar-besaran kerana masih mempertimbangkan kelulusan untuk kit ujian rumah menggunakan kit ujian RTK-Antigen dan air liur. Ia lebih memfokuskan kepada ujian di kawasan yang telah disahkan kluster Covid-19 menggunakan pendekatan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD). 

Pakar kesihatan awam dan pertubuhan perubatan buka kerajaan seperti Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bagaimanapun mendesak untuk melakukan ujian saringan selama beberapa waktu. MMA beberapa kali mengulangi desakannya untuk kerajaan menggunakan klinik perubatan swasta di seluruh negara untuk ujian saringan besar-besaran.

Dr Dzulkefly juga berharap sekiranya ujian saringan besar-besaran dijalankan, Selangor akan mampu meratakan lengkuk jangkitan, sekaligus mengurangkan beban sistem penjagaan kesihatan. 

“Dengan usaha kami untuk mempergiatkan ujian besar-besaran, kami berharap ia dapat mengurangkan jumlah kes harian, sekaligus meratakan lengkuk jangkitan  dan menjadikan ia lebih mudah ditangani agar sistem penjagaan kesihatan kita tidak terbeban.

“Kita juga perlu memastikan petugas barisan hadapan kita tidak keletihan dan berputus asa, terutamanya mereka yang bertugas di ICU (unit rawatan rapi) dan menjaga pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan dan diharap dapat mengurangkan kes kematian.” – 6 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen