CITF mengaku silap jumlah dos vaksin untuk Selangor, lapor media


Selangor masih menjadi negeri paling tinggi menerima vaksin setakat 1 Jun disusuli Kuala Lumpur dan Putrajaya menerima 578,130 dos manakala Johor menerima 370,860 dos. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2021.

PASUKAN Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) mengaku tersilap apabila menyatakan Selangor sudah menerima lebih 2.9 juta dos vaksin Covid-19 setakat 30 Mei lalu, lapor portal berita kesihatan CodeBlue.

Ini adalah kali kedua pihak pengurusan program vaksin membuat pembetulan berhubung kenyataan yang salah mengenai urusan vaksin Covid-19 di Selangor.

CITF menjelaskan Selangor sebenarnya menerima 615,210 dos vaksin Covid-19 setakat 1 Jun untuk diberikan kepada penduduk di negeri itu, kata laporan tersebut.

“Angka yang sebelum ini diberikan kepada CodeBlue merangkumi stok di kemudahan kerajaan dan sebahagiannya masih di gudang pengedar yang terletak di Selangor dan siap untuk edaran ke seluruh negara,” kata CITF dalam kenyataan yang dipetik oleh portal itu.

Jumlah lebih 615,000 dos itu terdiri daripada 434,070 dos vaksin keluaran Pfizer-BioNTec, 146,440 keluaran Sinovac, dan 34,700 dari AstraZeneca-Oxford.

“Kesilapan dalam data kepada CodeBlue sangat dikesali,” kata laporan portal itu.

CITF mengeluarkan kenyataan kepada CodeBlue untuk membetulkan laporan awal portal itu yang dibuat berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, kelmarin.

Laporan pada Khamis menyebut lebih 2.9 juta dos vaksin Covid-19 sudah diberikan kepada Selangor tetapi hanya tidak sampai 400,000 sudah diberikan kepada penerima.

Laporan itu menyebut masih ada lebih 2.5 juta dos vaksin daripada kerajaan persekutuan untuk Selangor yang belum diberikan kepada orang ramai.

Exco Kesihatan Selangor Dr Siti Mariah Mahmud kemudian menjelaskan jabatan kesihatan negeri hanya menerima sekitar 615,000 dos vaksin Covid-19, dan bukannya 2.9 juta dos seperti yang disebut dalam laporan itu.

“Saya telah merujuk isu ini kepada JKNS dan JKNS mengutarakan bahawa setakat ini vaksin yang diterima oleh Selangor adalah tidak mencukupi.

“Maka, tidak timbul isu Selangor mendapat bekalan sebanyak 2.9 juta dos vaksin dan adalah mustahil untuk Selangor mempunyai lebihan 2.5 juta dos untuk disimpan,” kata Adun Seri Serdang.

Sebelum ini, CITF membuat kenyataan yang mengelirukan tentang pendaftaran untuk vaksin yang dibuat oleh penyedia perkhidmatan sistem pengesanan kontak Kerajaan Selangor, Selangkah Ventures Sdn Bhd (SELangkah).

Isu itu diselesaikan selepas perbincangan semuka antara Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin pada Isnin lalu.

CITF pada mulanya mendakwa SELangkah punca ada individu diberikan slot bagi menerima vaksin AstraZeneca walaupun tidak pernah mendaftar untuk membuat tempahan.

Dalam kenyataan bersama, Amirudin dan Khairy berkata tiada manipulasi sistem oleh platform dalam talian SELangkah seperti yang didakwa oleh CITF. – 5 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen