China tumpu lindungi alam sekitar 


China sedang mempergiat usaha termasuk penggubalan pelan tindakan tiga tahun bagi mewujudkan langit biru.– Gambar EPA, 5 Jun, 2021.

BEIJING baru-baru ini, merekodkan sejumlah 5,086 spesies pada masa ini, antaranya 70 spesies baharu yang ditemui pada 2020, termasuk 12 spesies pertama kali dijumpai di China, menurut Tinjauan Biro Ekologi dan Alam Sekitar Perbandaran Beijing.

Beberapa tahun kebelakangan ini, China berusaha untuk menangani pencemaran alam sekitar, melindungi ekologi dan menghadapi cabaran perubahan iklim untuk menyumbang kepada usaha mewujudkan simbiosis antara manusia dengan alam sekitar.

Selain kejayaan yang dilakar di Beijing, sebanyak 474 zon perlindungan alam peringkat kebangsaan yang merangkumi kawasan seluas 983,400 kilometer persegi telah diwujudkan di seluruh negara.

Di samping itu, 10 zon perintis seluas 220,000 kilometer persegi, meragkumi 2.3 peratus keseluruhan tanah negara ini, dilaporkan beroperasi dalam kerangka sistem taman negara.

Menurut laporan Keadaan Ekologi dan Alam Sekitar 2020 yang dikeluarkan Kementerian Ekologi dan Alam Sekitar China baru-baru ini,   kadar hari langit biru (blue-sky days) mencatat 82 peratus di 337 bandar utama di seluruh negara pada tahun lepas, iaitu meningkat lima peratus berbanding tahun sebelumnya. 

China sedang mempergiat usaha termasuk penggubalan pelan tindakan tiga tahun bagi mewujudkan langit biru serta pembinaan sistem bekalan tenaga bersih dengan pelepasan ultra rendah berskala mega dan terbesar di dunia.

Selain itu China turut melaksanakan program pencegahan dan kawalan terhadap pencemaran air dan tanah untuk mendorong pembangunan tamadun ekologi bagi mewujudkan alam yang indah. – Bernama, 5 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen