Kanak-kanak 6 tahun maut terhidu asap kebakaran


SEORANG kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut dipercayai akibat terhidu asap dalam kebakaran rumahnya di Kondominium The Rise Collection II, Jalan Dr Wu Lien Teh, di George Town, hari ini.

Dalam kebakaran itu, Nur Rania Adelia Mohd Zaid, ditemukan tidak sedarkan diri akibat terhidu asap di dalam bilik tidur dan mangsa disahkan meninggal dunia pada 10.53 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) manakala adik lelakinya, Muhammad Ariq Zakwan, 4, menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital yang sama.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata pihak polis menerima laporan berhubung kebakaran itu pada 9.10 pagi memaklumkan satu unit kondominium terbakar dengan dua beradik tersebut berjaya diselamatkan dan terus dibawa ke HPP.

“Berdasarkan maklumat awal, dua beradik itu berada dalam unit kondominium tiga bilik berkenaan dan sedang tidur manakala ibu bapa mereka telah keluar ke kedai untuk membeli barang keperluan pada 8.30 pagi sebelum menyedari terdapat kebakaran menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kediaman tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Soffian berkata menurut ayah kanak-kanak perempuan berusia 34 tahun itu, dia menggunakan aplikasi CCTV melalui telefon bimbit dan semasa hendak keluar ke kedai dia telah mengaktifkannya untuk memantau anak-anaknya yang sedang tidur di rumah.

Katanya, pasangan suami isteri itu membawa anak bongsu mereka berusia setahun ketika keluar ke kedai dan hanya menyedari terdapat kebakaran di rumah pada 9 pagi melalui aplikasi tersebut sebelum terus bergegas pulang ke kediaman yang berada di tingkat 19 berkenaan.

“Menurut ayah mangsa, semasa tiba beliau terus masuk ke dalam rumah dan menyelamatkan anak lelakinya yang sedang terbaring di ruang tamu manakala isterinya terus meluru ke bilik membawa keluar kanak-kanak perempuan yang merupakan anak sulung pasangan tersebut sebelum terus ke HPP dengan ambulans,” katanya.

Beliau berkata bedah siasat dijalankan mendapati kanak-kanak perempuan itu meninggal dunia disebabkan tersedup asap dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Jelutong.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Aazelan Hassan berkata bomba tiba di tempat kejadian pada 9.05 pagi dan berusaha memberi bantuan pernafasan serta rawatan awal sebelum mangsa dihantar ke HPP.

“Sebaik menerima panggilan, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dan BBP Lebuh Pantai bergegas ke tempat kejadian, ketika kami sampai dua kanak-kanak termasuk seorang yang tidak sedarkan diri, sudah dibawa keluar dari rumah itu oleh ibu bapa mereka,” katanya.

Beliau berkata kebakaran berjaya dikawal pada 9.36 pagi dan api dipadamkan sepenuhnya sejam kemudian dengan kemusnahan kebakaran sehingga 70 peratus. – Bernama, 5 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen