2 remaja jumpa bom mortar di Kuala Muda


DUA remaja lelaki yang sedang menunggang sebuah motosikal terkejut selepas mereka menjumpai satu objek menyerupai sebutir bom di persisiran pantai di Kuala Muda, Penaga dekat Kepala Batas semalam.

Dua remaja berusia 14 tahun itu pada mulanya menyangka objek tersebut merupakan alat permainan namun apabila melihatnya dengan lebih dekat mendapati ia sebutir bom dan bertulis Mortar Bom 50MM.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata bom itu ditemukan dalam keadaan separuh tertanam kira-kira 1 tengah hari sebelum dua remaja tersebut mengorek pasir bagi mengeluarkannya dan membawa balik ke rumah di Taman Desa, Kuala Muda.

“Mereka menyangka alat permainan namun abang kepada seorang daripadanya menyedari ia adalah sebutir bom sebelum menghubungi polis memaklumkan penemuan tersebut dan hasil maklumat awal Unit Pemusnah Bom (UPB) mendapati objek berkenaan tiada bahan letupan.

“Pemeriksaan mendapati bom mortar itu digunakan untuk pembelajaran dan objek sepanjang 30 sentimeter serta seberat 3 kilogram (kg) itu dibawa balik ke Pangkalan UPB, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di Kepala Batas hari ini. – Bernama, 5 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen