SEORANG hakim di California, Amerika Syarikat (AS) membatalkan undang-undang larangan memiliki senjata walaupun keputusan itu dikritik gabenor Gavin Newsom yang menyuarakan kebiumbangan peningkatan kes bunuh berkait senjata api di negara itu.
Dalam keputusan setebal 94 muka surat, hakim persekutuan Roger T Benitez menyifatkan larangan senjata api yang dikuatkuasakan pada 1989 sebagai undang-undang yang tidak berperlembagaan dan beliau mempertahankan hak rakyat AS memiliki senjata semiautomatik.
“Seperti pisau, senapang popular AR-15 merupakan kombinasi terbaik sebagai senjata pertahanan di rumah.
“Senjata dan peluru di tangan penjenayah atau pengganas adalah berbahaya. Tetapi senjata di tangan rakyat yang patuh undang-undang adalah lebih baik,” katanya.
Benitez berkata beliau memberi tempoh 30 hari kepada kerajaan California untuk merayu keputusan itu.
Gabenor Newson menyifatkan keputusan itu sebagai ancaman kepada keselamatan awam dan beliau berikrar untuk mencabar keputusan itu.
Keputusan kontroversi itu dibuat ketika insiden keganasan senjata meningkat di seluruh AS.
Minggu lalu, negeri itu dikejutkan dengan kes serangan seorang pekerja pengangkutan awam yang menembak mati sembilan orang awam menggunakan senjata berat.
Hasil siasatan polis mendapati penyerang itu memiliki 12 senjata api dan 22,000 peluru.
Insiden tembakan rambang di AS turut berlaku di Florida, Indiana, Colorado dan Georgia.
Presiden Joe Biden menyifatkan kes tembakan di negara itu sebagai epidemik. – AFP, 5 Jun, 2021.
Komen