Tahan pendatang haram hanya cetus kluster baharu, kata kumpulan hak asasi


Elill Easwaran

Kerajaan berulang kali telah dimaklumkan bahawa penahanan beramai-ramai pendatang haram akan menjejaskan usaha mengekang penularan Covid-19, kata Lawyers for Liberty. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2021.

TINDAKAN menahan pendatang haram di pusat tahanan hanya akan mencetuskan lebih banyak kluster Covid-19, kata Zaid Malek.

Penyelaras kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty itu berkata pendatang haram tidak boleh dilayan seperti penjenayah dan ditempatkan di pusat tahanan.

“Tindakan itu mengundang risiko kepadatan di pusat tahanan dan berpontesi menyebabkan mereka dijangkit Covid-19,” kata Zaid dalam satu kenyataan.

Zaid merujuk kepada kenyataan menteri dalam negeri pada 3 Jun lalu yang menyatakan kerajaan akan menangkap pendatang haram untuk diberikan vaksin.

Kata Zaid kerajaan berulang kali telah dimaklumkan bahawa penahanan beramai-ramai pendatang haram akan menjejaskan usaha mengekang penularan Covid-19.

“Pandangan sama disuarakan pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Malaysia kepada Kementerian Dalam Negeri, tetapi ternyata ia diabaikan.

“Walaupun benar menteri dalam negeri menyatakan tujuan sebenar untuk memberi vaksin kepada pendatang haram, tetapi timbul persoalan tentang keperluan untuk menahan mereka,” katanya.

Menurutnya cara terbaik buat kerajaan adalah bekerjasama dengan UNCHR, kumpulan sivil dan pertubuhan bukan kerajaan yang mempunyai hubungan dengan komuniti pendatang asing bagi memudahkan proses vaksinasi.

Zaid berkata kerajaan perlu menilai semula keputusan untuk melaksanakan operasi besar-besaran menangkap pendatang haram. – 5 Jun, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen