.jpg)
BARU-baru ini, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) telah mengumumkan program saringan Covid-19 percuma untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang bakal berlangsung tak lama lagi.
Saya percaya langkah yang diambil ini akan memberi banyak manfaat kepada rakyat-rakyat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, terutama sekali tatkala kes positif Covid-19 semakin tinggi dan ujian saringan yang disediakan agak mahal sekiranya dilakukan secara berkala.
Bagaimanapun, dalam senarai yang dikeluarkan oleh KWP, tiada langsung tempat di kawasan Kepong mahupun di kawasan yang berdekatan dengan Parlimen Kepong. Apakah perkara ini disengajakan?
Program ini dijadualkan berjalan sebulan, mengapakah kawasan Parlimen Kepong tidak disertakan sekali?
Kalau kita lihat statistik yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kawasan-kawasan di bawah kawal selia Pejabat Kesihatan Daerah Kepong semuanya dikategorikan sebagai zon merah, dengan lebih kurang 300 kes positif baharu setiap hari.
Apa alasan untuk kawasan-kawasan ini tidak disertakan? Tambahan pula, di Kepong terdapat ramai golongan warga emas berisiko tinggi.
Saya pernah mengeluarkan kenyataan menggesa KWP untuk mencontohi usaha kerajaan negeri Selangor dalam mendepani wabak Covid-19, dengan melakukan ujian saringan berskala besar secara percuma untuk orang ramai.
Saya juga pernah menyarankan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa untuk membeli vaksin buat warga-warga Kuala Lumpur bagi mempercepatkan lagi proses vaksinasi negara.
Sekiranya program seperti ini sahaja orang-orang Kepong disisihkan, bagaimana pula dengan program vaksinasi yang telah dirancang oleh KWP?
Walaupun saya ahli Parlimen pembangkang, orang-orang Kepong tidak perlu dilakukan sebegini. Mereka bayar cukai tanah, cukai pintu serta pelbagai jenis cukai kepada pihak kerajaan setiap tahun, justeru mereka tidak boleh dipinggirkan.
Mereka adalah penduduk di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan apa-apa program di bawah seliaan KWP, mereka berhak untuk dilibatkan.
Wilayah Kuala Lumpur untuk semua!
Mana saringan percuma Covid-19 untuk Segambut?
Dengan peningkatan kes baharu positif Covid-19 di Kuala Lumpur terutama di beberapa kawasan di dalam Parlimen Segambut seperti yang dilaporkan pada 3 - 5 Jun 2021, adalah sesuatu yang memeranjatkan apabila Parlimen Segambut tidak langsung tersenarai dalam Program Saringan Covid-19 percuma yang dianjurkan oleh KWP.
Malah dengan pertambahan kes baharu seperti di Kampung Sungai Penchala sebagaimana yang dimaklumkan oleh penduduk kepada saya, KWP digesa mengadakan program saringan Covid-19 percuma di beberapa kawasan di dalam Parlimen Segambut dengan segera.
Perluaskan kapasiti saringan, tingkatkan penglibatan makmal swasta
Saya juga menggesa KWP dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya memperluaskan kapasiti saringan dan juga meningkatkan penglibatan makmal swasta untuk mengurangkan “backlog” yang sedia ada.
Ini akan mempercepatkan pemerolehan keputusan saringan supaya individu tersebut dapat diasingkan secepat mungkin dan diberikan sokongan yang sepatutnya.
Ini dapat mengelakkan individu positif Covid-19 menjangkiti orang lain tanpa menyedari yang mereka sebenarnya telah dijangkiti Covid-19 memandangkan ramai hari ini tidak mempunyai sebarang gejala.
Jangan kecualikan warga asing
Program saringan Covid-19 juga mesti menyenaraikan beberapa kawasan di Parlimen Segambut yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi termasuk mereka yang terdiri daripada golongan warga asing.
Jangan mengabaikan golongan warga asing dalam usaha melawan Covid-19 kerana virus ini tidak mendiskriminasikan kewarganegaraan, warna kulit, agama dan status kewangan seseorang. – 6 Jun, 2021.
* Lim Lip Eng, ahli Parlimen Kepong dan Hannah Yeoh, ahli Parlimen Segambut.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen