AKTIVITI penebangan kawasan hutan Amazon di Brazil semakin serius, seluas 1,190 kilometer persegi pada Mei, kata sebuah institut.
Keluasan itu menunjukkan peningkatan 40% berbanding Mei tahun lalu, rekod kemusnahan paling teruk pernah berlaku, menurut Institut Penyelidikan Angkasa Nasional Brazil (INPE).
Ini adalah bulan ketiga berturut-turut di mana rekod seperti itu dicatatkan, sekali gus mencetus persoalan berkenaan komitmen Presiden Jair Bolsonaro untuk melindungi hutan hujan Amazon.
NGO Observatorio de Clima, yang lantang mengkritik cara kerajaan menguruskan hal ehwal alam sekitar berkata, perkembangan ini membimbangkan kerana Mei adalah permulaan musim kemarau.
Sistem Pemerhatian Satelit INPE mengumpul data penebangan hutan sejak 2015.
Pada April, 580 kilometer persegi hutan hujan Amazon musnah akibat penebangan secara berleluasa.
Bolsonaro baru-baru ini berjanji akan bertindak tegas dan tiada penebangan hutan secara haram di Brazil menjelang 2030. – AFP, 5 Jun, 2021.
Komen