Pengguna Twitter ditahan kerana persoal peruntukan laman web vaksin


SEORANG pengguna Twitter ditahan polis di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) kerana mempersoalkan RM70 juta yang diperutukkan kerajaan bagi membangunkan laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Peguam Syahredzan Johan di Twitter berkata individu dengan nama pengguna @ChairmanGLC ditahan malam tadi.

“Dapat maklumat bahawa @ChairmanGLC telah ditahan oleh polis dan akan bermalam di lokap Dang Wangi.

“Saya difahamkan beliau ditahan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) No 2 mengenai ciapan tentang peruntukkan RM70 juta,” tulisnya.

@ChairmanGLC, atau nama sebenar Aizad Fahmy, didakwa menyebar maklumat palsus mengenai peruntukan RM70 juta untuk membangunkan laman web JKJAV, minggu lalu.

Dalam makluman terkini, Syahredzan berkata Aizad akan dibebaskan hari ini selepas direman sehari. Aizad diwakili dua peguam, Rajsurian Pillai dan Adly Zulkefly.

Sementara itu, Parti Aspirasi Sains Se-Malaysia (PASS) dalam kenyataan menyelar panahanan Aizad.

“Kami kesal dengan tindakan polis menahan seseorang hanya kerana menggunakan haknya untuk bersuara seperti yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

“Menahan Azad merupakan satu gangguan dan ugutan oleh pihak berkuasa. Kami menggesa beliau dibebaskan segera,” katanya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang juga menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berkata peruntukan sebanyak RM70 tersebut bukan semata-mata untuk membangunkan laman web JKJAV tetapi juga meliputi pengurusan PICK.

Peruntukan itu juga katanya, bukanlah jumlah sebenar, sebaiknya paras siling yang ditetapkan kerajaan bagi menjayakan program vaksinasi negara.

Kerajaan dikritik pelbagai pihak selepas ribuan rakyat gagal mengakses pendaftaran vaksin Covid-19 AstraZeneca pada 25 Mei. – 5 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen