Setiausaha politik Zuraida bidas pihak kritik operasi sanitasi awam


Ramai pakar kesihatan awam menggesa kerajaan menghentikan operasi sanitasi besar-besaran kerana tiada bukti saintifik menunjukkan ia berkesan untuk mencegah penularan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2021.

PAKAR  penyakit berjangkit Dr Adeeba Kamarulzaman sepatutnya beri perhatian kepada usaha menangani jangkitan Covid-19 di Selangor, bukan mengkritik program sanitasi awam yang dijalankan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kata Nor Hizwan Ahmad.

Sebagai anggota pasukan petugas pencegahan Covid-19 Selangor, Dr Adeeba tidak seharusnya mencari salah sesiapa tetapi sama-sama mencari jalan keluar menurunkan kes, tegas setiausaha politik kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraidan Kamaruddin itu.

“Saya menyeru Dr Adeeba yang juga salah seorang panel dalam Selangor Task Force Covid-19 Selangor (STFC) untuk menumpukan fokus beliau kepada negeri Selangor yang mencatat kes tertinggi seluruh negara saban hari.

“Dr Adeeba dan kesemua pihak yang acap kali mengkritik usaha kerajaan juga perlu akur dan menghargai sebarang usaha dalam memastikan penularan Covid-19 dalam negara dapat diturunkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dimuat naik di akaun Facebook Zuraida semalam, secara tidak langsung membidas kritikan ramai pakar kesihatan bahawa operasi sanitasi besar-besaran di tempat awamdi seluruh negara merupakan pembaziran sumber.

Dr Adeeba Kamarulzaman merupakan dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya dan juga ahli panel Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beliau antara ramai pakar kesihatan awam yang menggesa kerajaan menghentikan operasi sanitasi besar-besaran kerana tiada bukti saintifik menunjukkan ia berkesan untuk mencegah penularan Covid-19.

Pakar kesihatan memetik Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat berkata bukti menunjukkan bahawa risiko jangkitan Covid 19 melalui kontak dengan permukaan adalah rendah.

Sekadar membersihkan permukaan dengan sabun atau bahan pencuci sudah memadai bagi mengurangkan risiko penyebaran Covid-19, kata CDC.

Setakat ini, KPKT dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat sudah menjalankan lebih 26,000 operasi sanitasi besar-besaran di tempat awam sejak tahun lalu.

Nor Hizwan berkata operasi sanitasi dibuat sebagai salah satu usaha mencegah keberangkalian jangkitan daripada berlaku.

“Rakyat memerlukan jaminan dan menghargai sebarang usaha yang dilakukan kerajaan bagi meminimakan risiko jangkitan.

“Tambahan pula, ia difokuskan di kawasan yang telah disahkan mempunyai kes aktif Covid-19. – 5 Jun, 2021.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen