Peguam selar Nur Jazlan, panggil Anwar sebagai banduan memalukan


Menggelar Anwar Ibrahim yang disegani di seluruh dunia sebagai banduan adalah memalukan dan tindakan terdesak oleh menteri muda ini, kata peguam N. Surendran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Januari, 2018.

PEGUAM kepada Anwar Ibrahim mengutuk Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan kerana menghina pemimpin pembangkang yang sedang dipenjarakan itu sebagai hanya banduan.

Menurut peguam N. Surendran, Anwar dikenali di peringkat antarabangsa sebagai “tahanan hati nurani” dan hukumannya dikritik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Menggelar Anwar Ibrahim yang disegani di seluruh dunia sebagai banduan adalah memalukan dan tindakan terdesak oleh menteri junior ini.

“Malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui Kelompok Kerja Penahanan Arbitrase telah melabelkan pemenjaraan Anwar dilakukan dengan sewenang-wenangnya dan mendesak pembebasannya.

“Melucukan apabila Nur Jazlan mengabaikan semua ini serta melabel Anwar sebagai banduan biasa,”  katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut dipersoaln Surendran ialah, jika Anwar hanya seorang banduan biasa, mengapa Perdana Menteri Najib Razak datang melawat semasa pemimpin PKR itu dimasukkan ke hospital tidak lama sebelum ini.

“Jika beliau hanya seorang banduan, mengapa Perdana Menteri Malaysia datang melawat?”

Tambah ahli Parlimen Padang Serai itu, Dr Mahathir tidak wajar dihalang untuk melawat Anwar di Hospital Pemulihan Cheras semalam.

“Menghalang Anwar dari dilawat Dr Mahathir adalah perkara remeh dan boleh dimenjelikkan; lebih teruk lagi apabila menggelarnya seorang banduan,” kata Surendran.

Semalam Dr Mahathir tidak dibenarkan bertemu Anwar di Hospital Pemulihan Cheras dan kakitangan hospital itu memberitahu ia adalah arahan pihak atasan.

Pada Ahad lalu, Dr Mahathir telah diumumkan sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan dan ini kali pertama beliau mahu melawat Ketua Umum PKR itu.

Semalam pula, Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed mengatakan Anwar masih seorang banduan dan tertakluk kepada peraturan Jabatan Penjara, maka sesiapa sahaja yang hendak melawatnya perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Beliau bagaimanapun menafikan arahan itu datang dari kementeriannya.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Zulkifli Omar semalam menjelaskan larangan itu adalah bagi mengelak timbulnya kontroversi dan kerana ada ancaman keselamatan. Larangan itu juga katanya dibuat oleh pegawai bertanggungjawab ke atas Penjara Sungai Buloh. – 11 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • lps pru nt nir jazlan bakal kd banduan yg sebetulnya

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan