Wakil khas Asean bertemu pemimpin tentera Myanmar


Pertemuan diadakan antara Menteri Luar II Brunei Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof dan Setiausaha Agung Asean Lim Jock Hoi dengan pemimpin tentera Myanmar Min Aung Hlaing semalam. – Gambar EPA, 5 Jun, 2021.

UTUSAN khas Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) mengadakan rundingan dengan pemimpin tentera Myanmar Min Aung Hlaing semalam.

Pertemuan antara Menteri Luar II Brunei Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof dan Setiausaha Agung Asean Lim Jock Hoi dengan Hlaing berlangsung di Myanmar.

Tentera Myanmer dalam satu kenyataan ringkas berkata Hlaing menegaskan pilihan raya hanya diadakan apabila “situasi kembali normal”.  Tiada butiran lanjut dinyatakan berkenaan pertemuan itu.

Hlaing sebelum ini berkata pilihan raya Myanmar akan diadakan dalam tempoh dua tahun.

April lalu Hlaing bertemu pemimpin-pemimpin negara Asean di Jakarta, lawatan luar negara pertamanya sejak tentera Myanmar melakukan rampasan kuasa dengan menyingkirkan pemimpin yang dipilih rakyat, Aung San Suu Kyi, pada awal Februari lalu.

Lima konsensus dicapai pada mesyuarat tertutup itu, termasuk melantik utusan khas dalam usaha menyelesaikan krisis di Myanmar.

Anggota kerajaan bayangan Myanmar dikenali Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), yang kebanyakannya dari parti Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Suu Kyi bagaimanapun berkata mereka patut turut dilibatkan dalam mesyuarat bersama utusan khas Asean itu.

Lebih 800 orang terbunuh akibat keganasan tentera Myanmar sejak gelombang tunjuk perasaan rampasan kuasa meletus di seluruh negara itu sejak 1 Februari lalu. – AFP, 5 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen