Turki temui lagi sumber gas asli di Laut Hitam


Turki mahu mengurangkan kebergantungan negara itu terhadap import sumber tenaga dari luar seperti Russia, Iran dan Azerbaijan. – Gambar AFP, 5 Jun, 2021.

PRESIDEN Turki Recept Tayyip Erdogan semalam umum penemuan sumber gas asli di Laut Hitam, sekali gus mengurangkan kebergantungan negara itu terhadap import sumber tenaga dari luar seperti Russia, Iran dan Azerbaijan.

Tahun lalu, Erdogan umum penemuan sumber gas asli berjumlah 405 bilion meter padu, yang terbesar dalam sejarah di Laut Hitam, dan diberi nama Sakarya.

Erdogan berkata penerokaan lanjut di Laut Hitam menemui 135 bilion meter padu lagi sumber gas asli.

“Telaga baharu dengan 135 bilion meter padu ditemui di lapangan Amasra-1,” katanya ketika bercakap pada upacara pembukaan di wilayah Laut Hitam Zonguldak.

Turki menggunakan antara 45 bilion hingga 50 bilion meter padu gas asli setiap tahun. Erdogan sebelum ini berkata Turki berhasrat untuk mempelbagaikan bekalan gas aslinya.

Kerja-kerja penerokaan sumber tenaga asli Turki di luar pantai berhampiran Pulau Greece yang menjadi pertikaian di perairan timur Mediterranean mencetus kontroversi tahun lalu. – AFP, 5 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen