Mereka tak tunggang basikal lajak, kata polis


Ikhwan Zulkaflee

POLIS menafikan remaja terlibat dalam kemalangan maut malam semalam di Pontian menunggang basikal lajak, seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan. 

Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, remaja yang terlibat dalam kemalangan kira-kira jam 10.30 malam di Kampung Maju Jaya, Pekan Nanas semalam hanya menunggang basikal biasa yang tidak menepati piawaian. 

“Itu bukan basikal lajak. Mereka hanya menaiki basikal biasa yang tidak menepati piawaian, itu sahaja. 

“Mereka menggunakan basikal untuk memudahkan pergerakan mereka ke mana-mana,” kata Zakaria. 

Jelas polis, kesemua basikal yang dinaiki mangsa tidak berlampu.

Kemalangan malam semalam menyaksikan seorang pemandu wanita berusia 38 tahun yang memandu Toyota Altis merempuh empat remaja yang menunggang basikal berasingan. Pemandu wanita tersebut direman empat hari bermula hari ini. 

Mereka ketika ketika itu dalam perjalanan pulang kerumah selepas tamat latihan kompang. 

Dua dari remaja tersebut, Muhammad Amiruddin Abd Majid,12, dan Ibnu Ahmad Ahmad Naizl,16, maut di tempat kejadian. 

Seorang lagi mangsa, Nur Iqmal Haffiz Abdul Wahab, 14, patah bahu dan mengalami luka manakala seorang lagi remaja Mohammad Nur Hayatuddin Mazli, 14, hanya cedera ringan. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – 11 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen