Utusan Asean dijangka bertemu pemimpin Junta di Myanmar


Setiausaha Agung Asean, Lim Jock Hoi dan Menteri Luar II Brunei, Datuk Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof dijangka bertemu pemimpin junta, Min Aung Hlaing pada 4 Jun. – Gambar EPA, 4 Jun, 2021.

UTUSAN khas Asean tiba di Myanmar pada 3 Jun menjelang pertemuan yang dijadual dengan junta tentera untuk mencari penyelesaian kepada krisis politik negara itu.

Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik laporan Agensi Berita Delta Myanmar, Menteri Luar II Brunei, Datuk Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof dan Setiausaha Agung Asean, Lim Jock Hoi dijangka bertemu pemimpin junta, Min Aung Hlaing pada 4 Jun.

Asean memimpin usaha diplomatik berhubung konflik Myanmar, sejak negara itu dilanda krisis  politik selepas tentera melancarkan rampasan kuasa pada 1 Februari.

Pada Mesyuarat Pemimpin Asean di Jakarta, 24 April lalu, pemimpin Asean sepakat mengenai  mencapai lima konsensus, termasuk menghentikan serta-merta keganasan di Myanmar dan semua pihak mengambil langkah untuk bertenang selain Asean akan memberikan bantuan kemanusiaan melalui Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana Asean (Pusat AHA).

Brunei adalah Pengerusi Asean tahun ini. – Bernama, 4 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen