-2.jpg)
PADA 1 Jun 2021 lalu, ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan rangkaian inisiatif yang akan dilaksanakan bagi membantu penduduk di Kawasan Parlimen Muar. Pakej Bantuan Khas Muar Sejiwa tersebut mengandungi pemberian 300 tablet untuk pelajar Muar, foodbank untuk 1000 keluarga, pendaftaran vaksin kepada 1000 keluarga melalui 30 penggerak, insentif pengangkutan Muar-Johor Bahru untuk mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca dan subsidi ujian saringan RTK Covid-19.
Dari segi impaknya, kalau kita mengandaikan bahawa setiap keluarga yang terlibat mempunyai minimum dua orang ahli, maka, kira-kira 2,000 orang akan mendapat manfaat foodbank yang diperuntukkan tersebut di samping pertambahan sekurang-kurangnya 2,000 orang lagi yang akan mendaftar untuk menerima vaksin.
Pembiayaan bagi kesemua inisiatif tersebut adalah melalui 100% hasil penjualan Kurta Syed Saddiq dan barangan Jalan Terus, potongan gaji saraan bulan Jun ahli Parlimen dan sumbangan orang awam.
Impak program ini mungkin tidak terlalu besar bagi sesetengah pihak. Lebih-lebih lagi kalau dilihat secara berasingan dalam konteks yang terpencil.
Namun, kita mempunyai seramai 222 orang ahli Parlimen di seluruh negara. Bayangkan jika semua ahli Parlimen melakukan inisiatif yang sama, kalau pun bukan lebih besar dan lebih baik. Maka, impaknya sangat besar iaitu:
- 66,600 unit tablet (300 unit x 222 Parlimen);
- 444,000 penerima manfaat (1000 keluarga x 2 ahli x 222 Parlimen); dan
- 444,000 pendaftaran baharu penerima vaksin (1000 keluarga x 2 ahli x 222 Parlimen).
Jumlah mereka yang menerima manfaat adalah hampir mencecah 1 juta orang. Dan bayangkan perkara yang sama dilakukan juga oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang seramai 576 orang di seluruh negara.
Memandangkan peruntukan serta kawasan DUN adalah lebih kecil, cukuplah sekiranya setiap seorang mereka dapat melakukan separuh daripada apa yang dilakukan oleh Syed Saddiq.
Ia akan membawa impak yang sangat besar iaitu:
- 86,400 unit tablet (150 unit x 576 DUN);
- 576,000 penerima manfaat (500 keluarga x 2 ahli x 576 DUN); dan
- 576,000 pendaftaran baharu penerima vaksin (500 keluarga x 2 ahli x 576 DUN).
Jika digabungkan impak kedua-dua inisiatif yang dilakukan oleh kesemua ahli Parlimen dan Adun di seluruh negara ini, impaknya adalah:
- 153,000 unit tablet untuk pelajar (66,600 unit dari ahli Parlimen + 86,400 unit dari Adun);
- 1,020,000 penerima manfaat (444,000 dari ahli Parlimen + 576,000 dari Adun); dan
- 1,020,000 pendaftaran baharu penerima vaksin (444,000 dari ahli Parlimen + 576,000 dari Adun).
Ini bermakna 153,000 unit tablet sudah boleh disalurkan kepada para pelajar yang memerlukan. Dan jumlah ini adalah jauh lebih besar dari jumlah keseluruhan 150 ribu yang dijanjikan dalam Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan yang nampaknya hanya bersikap acuh tak acuh dalam hal ini.
Jumlah pendaftaran baharu penerima vaksin adalah melebihi satu juta orang dan angka ini akan melonjakkan keseluruhan peratusan pendaftaran vaksin sedia ada yang berjalan agak perlahan.
Ini belum lagi kita mengambil kira bentuk-bentuk bantuan dan inisiatif yang serupa yang turut boleh dilakukan oleh setiap parti politik di setiap kawasan Parlimen.
Katakanlah secara kasarnya setiap Parlimen mempunyai kehadiran dua parti politik utama dan setiap satunya menyumbang 100 biji tablet/ laptop, maka kita akan mempunyai sebanyak 44,400 unit tablet/ laptop (222 Parlimen x 2 parti politik x 100 unit tablet/ laptop) lagi untuk dimanfaatkan oleh para pelajar yang memerlukan.
Masyarakat akan berada dalam keadaan yang lebih baik sekiranya semua ahli Parlimen, wakil rakyat Adun dan parti-parti politik benar-benar mengutamakan rakyat dan mengambil inisiatif sendiri untuk membantu mereka yang memerlukan.
Jika seorang ahli Parlimen muda yang sering diejek ‘budak’, ‘anak hingusan’ dan ‘kitten’ boleh melakukannya tanpa mengharapkan peruntukan kerajaan, sudah pastilah wakil rakyat lain yang lebih senior dan berpengalaman mampu melakukannya dengan jauh lebih baik dan lebih besar.
Masa untuk kita mengemis dan mengharapkan bantuan dari kerajaan semata-mata untuk semua perkara sudah tamat. Apatah lagi jika Kerajaan yang ada sangat lemah dan bergelut dengan risiko kehilangan majoriti dan populariti yang merosot. Mereka tidak akan mempunyai masa untuk benar-benar memfokuskan kepada isu rakyat di bawah. Sehinggakan Menteri Dalam Negeri terpaksa mengeluarkan kenyataan hari ini (4 Jun 2021) bahawa pembukaan Parlimen hanya akan melambatkan proses mencapai imuniti kelompok.
Malangnya, untuk mengharapkan semua ahli Parlimen dan Adun serta parti-parti politik di kawasan pun nampaknya adalah sesuatu yang agak sugar dan jauh dari kenyataan.
Semoga Malaysia berada dalam keadaan selamat dan kembali pulih segara. – 4 Jun, 2021.
* Mohd Daud Mat Din, Pengarah Penyelidikan Bait Al-Amanah.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen