KAKAK aktivis politik Thailand yang hilang di Phnom Penh tahun lalu menuntut jawapan dari pihak berkuasa, setelah 12 bulan itu tidak diendahkan.
Wanchalearm Satsaksit, yang dikehendaki polis Thailand kerana menjalankan laman Facebook antikerajaan, diculik ke dalam sebuah kereta di siang hari di ibu kota Kemboja.
Sejak itu, tidak ada sebarang jejak mengenai kehilangannya malah pada Jumaat kakaknya Sitanun menyerahkan dokumen kepada kementerian undang-undang di Bangkok menuntut siasatan telus.
“Saya di sini hari ini untuk menyoal apa yang telah dibuat Kementerian Undang-undang selepas setahun,” kata Sitanun kepada wartawan.
“Pihak berkuasa Thailand dan Kemboja sepatutnya ada jawapan setelah setahun berlalu. Kami ingin ketulusan dari kedua-dua pihak dalam kes ini.”
Kumpulan hak asasi Amnesty International meminta Thailand melancarkan siasatan bebas mengenai kehilangan tersebut, berkata pihak berkuasa Kemboja telah gagal menjalankan tugas mereka.
“Siasatan cuai ini terhenti. Tahun lalu dipenuhi dengan salah menyalah dan tidak ada usaha yang boleh dipercayai untuk siasat apa yang sebenarnya berlaku pada Wanchalearm,” kata Ming Yu Hah dari Amnesty International dalam satu kenyataan.
Wanchalearm menetap di Kemboja setelah melarikan diri dari Thailand selepas kudeta 2014 yang kemudian membawa kepada kebangkitan Prayut Chan-O-Cha - ketua tentera dan sekarang perdana menteri.
Aktivis 37 tahun itu dicari kerana menghasut dan melanggar Akta Jenayah Komputer Thailand - undang-undang luas yang dikatakan oleh kumpulan hak asasi disalahgunakan untuk membungkam pengkritik.
Polis Kemboja berkata mereka tidak membuat membuat siasatan lanjut mengenai kehilangan itu, namun setiausaha menteri undang-undang Thailand, Thanakrit Chitarirat menegaskan akan ada “kemajuan bulan ini”.
Bagaimanapun penyiasat Thailand berkata, oleh kerana kehilangan aktivis itu berlaku di Kemboja, adalah tanggungjawab polis negara itu untuk memimpin siasatan. – AFP, 4 Jun, 2021.
Komen