TOKYO menyumbangkan lebih satu juta dos vaksin AstraZeneca kepada Taiwan, kata menteri luar Jepun pada Jumaat, ketika Taipei berjuang mendapatkan dos, menuduh campur tangan China.
Langkah itu dijangka menimbulkan kontroversi dengan Beijing, yang melihat Taiwan sebagai sebahagian dari wilayahnya.
“Kami telah terima permintaan dari banyak negara dan kawasan untuk pemberian vaksin,” kata Toshimitsu Motegi kepada wartawan di Tokyo.
“Pada waktu ini, kami telah selesaikan urusan permohonan dari Taiwan. Kami akan berikan 1.24 juta dos vaksin AstraZeneca yang telah dihasilkan di Jepun, secara percuma,” tambahnya.
Katanya vaksin itu akan dikawal selia melalui pejabat kedutaan berkenaan dan akan tiba di Taiwan lewat hari ini.
Dalam satu kenyataan, kementerian luar Taiwan menyambut baik langkah itu, dengan menekankan negara-negara jiran “berkongsi nilai universal kebebasan dan demokrasi.”
Langkah ini timbul ketika Taiwan berhadapan peningkatan kes secara tiba-tiba selepas sekian lama berjaya mebguruskan pandemik dengan baik.
Jangkitan meningkat sejak beberapa minggu ini, dengan hampir 10,000 kes dan 166 kematian setelah kluster utama dikesan di kalangan juruterbang syarikat penerbangan.
Taiwan ingin melancarkan inokulasi besar-besaran dalam beberapa bulan akan datang dengan menubuhkan ribuan stesen vaksinasi.
Taiwan mendapat dos melalui program Covax dan termasuk dalam rancangan yang digariskan oleh Washington minggu ini untuk mengagihkan 80 juta dos di seluruh dunia.
Bagaimanapun Presiden Tsai Ing-wen secara terang-terangan menuduh China telah “mengganggu” usaha untuk mendapatkan vaksin Pfizer. – AFP, 4 Jun, 2021.
Komen