Polis Hong Kong tahan pemimpin demokrasi


POLIS Hong Kong pagi ini menahan aktivis demokrasi terkemuka Chow Hang-tung, dengan sekatan diketatkan bagi menghalang sebarang protes diadakan sempena ulang tahun insiden keganasan Tiananmen.

Empat polis berpakaian biasa menunggu Chow di luar bangunan pejabatnya di pusat bandar dan menahannya.

Chow dibawa menaiki kereta hitam.

Sumber polis berkata Chow ditahan mengikut Seksyen 17A Ordinan Ketenteraman Awam, yang antara kesalahan ialah mempromosikan himpunan haram.

Chow, 37, salah seorang naib presiden Hong Kong Alliance, kumpulan yang menganjurkan vigil menyalakan lilin besar-besaran di Taman Victoria setiap 4 Jun sebagai mengenang mangsa terbunuh di Beijing pada 1989, dalam gerakan keganasan terhadap penyokong demokrasi di Dataran Tiananmen.

Polis Hong Kong melarang upacara vigil diadakan tahun ini, atas alasan pandemik, walaupun bandar itu tidak merekodkan kes baharu sejak lebih sebulan.

Hong Kong Alliance kemudian berkata ia tidak akan menganjurkan vigi.

Tahun lalu, upacara itu tidak diadakan kerana koronavirus. Puluhan ribu melanggar larangan itu dan tetap mengadakan himpunan di taman berkenaan. – AFP, 4 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen