Pendaftaran pelajar terjejas kerana pandemik, kata IPTS


Raevathi Supramaniam

Peperiksaan SPM dan SPTM yang tertunda, selain pelajar dan ibu bapa teragak-agak kerana pandemik antara punca pendaftaran menunjukkan trend turun naik, kata mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2021.

PENDAFTARAN pelajar menunjukkan trend turun-naik sejak mulanya pandemik Covid-19 tahun lalu, namun pelajar yang ada tidak tercicir, kata institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Kolej dan universiti swasta berkata mereka telah melihat sifat teragak-agak pelajar dan ibu bapa untuk mendaftar di kolej semasa pandemik kerana keadaan yang tidak menentu.

Daniel Abishegam, pengarah akademik dan pensyarah kanan di Advance Tertiary College (ATC), berkata pendaftaran ke kolej itu terjejas kerana pelajar sekolah menengah tidak menamatkan persekolahan mengikut masa untuk mendaftar ke kolej, selain bimbang dengan pandemik.

“Kami dapat rasa jumlah pendaftaran pelajar sepatutnya lebih tinggi tetapi ia dipengaruhi juga oleh peperiksaan yang tertunda (SPM dan STPM) selain kebimbangan mengenai Covid-19.

“Pelajar yang ada tidak tercicir tetapi kami nampak adanya kemungkinan pelajar ragu-ragu untuk mendaftar ketika pandemik bermula, berharap untuk menunggu.

“Namun pada 2021, kami yakin para pelajar ini telah menerima norma baharu dan telah mendaftar untuk program kami,” katanya kepada The Malaysian Insight.

ATC sebelumnya terletak di Jalan Petaling di Kuala Lumpur, baru-baru ini berpindah ke kampus baru di pusat bandar berhampiran KLCC. Daniel berkata langkah itu juga dapat menyumbang kepada sedikit peningkatan pelajar yang mendaftar dengan mereka.

“Selanjutnya, ATC selalu memberikan pilihan berpatutan untuk mendapat pendidikan UK dan pada masa ini ianya sangat menarik,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Monash University Malaysia berkata mereka telah melihat beberapa perubahan dalam pendaftaran pelajar sejak pandemik ini kerana pelbagai faktor.

“Banyak faktor menyumbang kepada turun naik, seperti ketidakpastian dalam menerapkan pendidikan hibrid, status kewangan ibu bapa, sekatan perjalanan dan sebagainya. Ada yang menangguhkan pengajian mereka, tetapi ramai yang tidak tangguh,” kata jurucakapnya. – 5 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen