AS derma 80 juta dos vaksin Covid-19


AS akan agih 80 juta dos vaksin Covid-19 ke seluruh dunia, dengan 75% daripadanya akan diberikan menerusi Covax. – Gambar EPA, 4 Jun, 2021.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden memaklumkan tentang perancangan mengagihkan 80 juta dos vaksin Covid-19 ke seluruh dunia, dengan 75% daripadanya akan diberikan menerusi Covax.

Berdasarkan maklumat White House, vaksin yang dikongsi AS menerusi Covax akan mengutamakan negara di Amerika Latin dan Caribbean, Asia Selatan dan Asia Tenggara serta Afrika.

“Kami berkongsi vaksin ini bukan untuk mendapat sokongan atau konsesi. Kami mahu menyelamatkan nyawa dan mengetuai usaha menamatkan pandemik ini, dengan menjadikan nilai kami sebagai contoh,” kata Biden.

Terdahulu, Biden berikrar untuk mengeksport 80 juta dos vaksin Covid-19 ke seluruh dunia menjelang akhir bulan ini.

Komitmen itu susulan desakan beberapa negara supaya AS menggunakan lebihan vaksin berkenaan untuk membantu negara yang sedang bergelut dengan wabak itu, memandangkan pengagihan vaksin itu di AS sudah mencapai kemajuan memberangsangkan.

Penyelaras maklum balas Covid-19 White House Jeff Zients berkata proses mengeksport 25 juta dos pertama vaksin kini sedang dilakukan.

“Kami akan memastikan komitmen Presiden AS untuk menghantar 80 juta dos menjelang akhir Jun,” katanya.

Covax ialah skim antarabangsa yang diwujudkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bermatlamat memastikan akses vaksin mencukupi kepada 30% populasi di 92 wilayah termiskin yang menyertainya, termasuk 20% di India, dengan kos dibiayai penderma.

Berdasarkan perancangan AS, daripada 25 juta dos pertama vaksin yang akan diagihkan, kira-kira tujuh juta dikhususkan untuk negara Asia, khususnya India, Nepal, Bangladesh, Pakistan, Sri Lanka, Afghanistan, Vietnam, Papua New Guinea dan Taiwan.

Kira-kira enam juta dos pula diperuntuk kepada negara di Amerika Selatan dan Amerika Temgah serta Caribbean, termasuk Brazil, Argentina, Colombia, Costa Rica, Peru, Guatemala dan Haiti.

Lima juta dos lagi khusus untuk negara Afrika dan akan diagihkan dengan kerjasama Kesatuan Afrika, kata Penasihat Keselamatan Nasional AS Jake Sullivan. – AFP, 4 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen