Perwakilan Asean tiba di Myanmar


Myanmar dalam keadaan kucar-kacir dan ekonomi lumpuh sejak rampasan kuasa pada Februari, sementara kumpulan pemerhati tempatan mendakwa lebih 800 individu maut. – Gambar EPA, 4 Jun, 2021.

PERWAKILAN dari Asean tiba ke Myanmar malam tadi untuk berunding dengan ketua junta, Min Aung Hlaing, lima bulan selepas rampasan kuasa di negara itu.

Myanmar dalam keadaan kucar-kacir dan ekonomi lumpuh sejak rampasan kuasa pada Februari, sementara kumpulan pemerhati tempatan mendakwa lebih 800 individu maut, susulan tindakan ganas tentera terhadap pemberontak.

Menteri Hal Ehwal Antarabangsa Kedua Brunei Erywan Pehin Yusof dan Setiausaha Agung Asean Lim Jock Hoi tiba di Naypidaw lewat malam tadi, kata seorang pegawai Myanmar yang enggan dikenali.

Pegawai itu berkata mereka akan bertemu Aung Hlaing pagi ini, namun tidak memberikan perincian lanjut.

Asean mengetuai usaha diplomatik bagi menyelesaikan krisis di Myanmar, namun pengaruh diplomatik bukan kekuatan blok itu, dan pemerhati mempersoal keberkesanan Asean untuk mempengaruhi perubahan di Myanmar.

Blok itu juga dilihat bergelut untuk bersatu, ketika Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) meningkatkan sekatan terhadap jeneral Myanmar.

Setakat ini tidak jelas sama ada perwakilan Asean itu akan bertemu dengan anggota kerajaan bayangan yang disingkirkan, kebanyakannya anggota parti NLD, yang berusaha menyatukan pemberontak.

Junta melabel anggota kerajaan bayangan itu sebagai pengganas, bermakna mana-mana pihak yang berkomunikasi dengan mereka, termasuk wartawan, boleh diambil tindakan mengikut undang-undang mencegah keganasan.

Aung Hlaing turut mengulangi tuduhannya kumpulan itu pengganas, dalam ucapannya yang disiarkan saluran televisyen kerajaan semalam. – AFP, 4 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen