KETUA wilayah di Pakistan pada Khamis mengarahkan kekitangan kerajaan yang enggan menerima vaksin Covid-19 dipotong gaji bermula bulan depan.
Ketua Menteri Sindh Murad Ali Shah mengumumkan langkah itu selepas mengadakan mesyuarat dengan pegawai kesihatan bagi membincangkan kes varian baharu yang melanda wilayah berkenaan, termasuk di bandaraya Karachi.
“Mana-mana kakitangan kerajaan yang tidak mahu divaksin gajinya perlu ditahan bermula Julai,” katanya menerusi Twitter dan menambah arahan telah diberikan kepada kementerian kewangan.
Gelombang ketiga jangkitan Covid-19 mula stabil di negara itu selepas beberapa minggu sekatan pergerakan dilaksanakan, namun wilayah Sindh melaporkan jumlah kes tertinggi sejak awal pandemik.
Kempen vaksinasi Pakistan mula dipertingkat sejak beberapa minggu lalu dengan lebih 200,000 dos vaksin diedarkan.
Hanya 2.2 juta daripada jumlah keseluruhan 220 juta penduduk divaksin di negara itu.
Berita palsu dan teori konspirasi mengenai kesan sampingan suntikan vaksin mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk di Pakistan.
Ia ditambah dengan keperluan memiliki telefon bimbit untuk pendaftaran suntikan vaksin yang menjadi penghalang kepada penduduk miskin.
Penduduk di kawasan luar bandar juga sukar untuk ke pusat agihan vaksin, yang mana kebanyakannya terletak di bandar-bandar utama. – AFP, 3 Jun, 2021.
Komen