Dr Mahathir tulis surat minta Agong campur tangan


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata surat kepada Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu dikirimkan awal minggu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Jun, 2021.

DR Mahathir Mohamad sudah menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong memohon baginda untuk campur tangan membantu menyelesaikan masalah rakyat, di tengah penularan pandemik Covid-19.

Bekas perdana menteri berkata surat kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu dikirimkan awal minggu ini.

“Kita percaya bahawa raja menjadi pelindung, payung kepada rakyat. Jadi apabila rakyat kecewa, tak ada sesiapa yang boleh mereka dapat layanan termasuk daripada kerajaan, kita pandang kepada raja untuk menyelesaikan masalah kita.

“Kalau tidak raja dan tidak kerajaan, siapa?” katanya dalam satu sidang media bersama pimpinan partinya Pejuang, petang ini.

Jelas Dr Mahathir, sebuah kerajaan yang disifatkannya zalim seperti kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak boleh dibiarkan terus berjalan tanpa pembelaan sesiapa.

“Itu sebab kita tulis surat rayuan kepada raja untuk mengambil berat tentang penderitaan rakyat,” katanya.

Beliau menambah setakat ini pihaknya belum dapat apa-apa jawapan daripada pihak Istana Negara, baik atas surat peribadinya mahupun surat yang dihantar sekumpulan wakil rakyat.

Dr Mahathir ditanya mengenai perkembangan permohonan ahli Parlimen pembangkang untuk perkenan mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan memorandum untuk menamatkan perisytiharan darurat pada hujung April lalu.

Jawatankuasa itu pada pertengahan Mac melancarkan petisyen untuk mendesak Yang di-Pertuan Agong menamatkan darurat yang diisytiharkan berkuat kuasa pada 11 Januari hingga 1 Ogos ini.

Pengerusi jawatankuasa Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata pihak Istana Negara dalam sepucuk surat pada 22 April memaklumkan Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk menerima mereka mengadap pada satu tarikh yang akan ditetapkan.

Tarikh berkenaan sehingga sekarang belum ditetapkan.

Petisyen mendesak tamat darurat pada masa itu ditandatangani lebih kurang 40,000 orang. – 3 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen