Kisah malang gadis kecil berstoking merah di Mexico


Gambar Lupita yang ditemui dibunuh pada Mac lalu, dipegang oleh ibu saudaranya, Maria Media pada satu sidang media di Mexico City, semalam. – Gambar AFP, 11 Januari, 2018.

PEMBUNUHAN seorang kanak-kanak empat tahun di Mexico pada Mac lalu mencetuskan keberangan di negara itu, dengan desakan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap perbuatan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak yang berleluasa.

Mayat Lupita ditemui separuh bogel, dengan kesan pukul dan serangan seksual di tubuhnya, terdampar di pinggir bandar Mexico City pada 18 Mac.

Tiada yang datang menuntut mayatnya, dan selama berbulan-bulan dia hanya dikenali sebagai “kanak-kanak berstoking merah” kerana itu pakaian yang paling menonjol di tubuhnya ketika ditemui.

Seorang wartawan yang juga aktivis wanita, Veronica Villalvazo kemudian bertindak meminta pihak berkuasa gambar yang boleh membantu mengenal pasti kanak-kanak itu, tetapi tidak mendapat jawapan dengan segera.

Masalah keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak di Mexico bukan masalah baru, dengan nisbah 7.5 wanita dibunuh setiap hari, menurut statistik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan kerajaan – jumlah peningkatan terbaru selepas tiga tahun angkanya menurun.

 Villalvazo atau dikenali dengan nama Pahlawan Frida, tidak mahu kes kanak-kanak itu berakhir tanpa penyelesaian, sama seperti kes pembunuhan yang lain dalam negara yang 99% kesalahan jenayah tidak pernah dihukum.

“Di Mexico, ia bukan perkara besar – kamu boleh bunuh wanita, kanak-kanak perempuan, rogol dia, seksa, culik dia, dan tidak ada apa-apa akan berlaku pada kamu, kerana mereka tidak siasat. Sebab mereka tidak peduli,” katanya.

Akhirnya, seorang sumber memberikan gambar di tempat kejadian kepada Villalvazo dan kemudian dapat digunakan untuk mendapatkan lakaran wajah kanak-kanak malang itu.

Gambar lakaran itu kemudian disiarkan di merata tempat dan akhirnya dua wanita tampil, mengaku sebagai ibu saudara kanak-kanak yang rupa-rupanya bernama Lupita.

Menurut ibu saudara berkenaan, Lupita hidup bersama ibunya, tetapi sentiasa terabai sehinggakan pernah duduk bersama gelandangan. – AFP, 11 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen