.jpg)
KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) telah terbukti gagal menguruskan negara dalam menangani wabak Covid-19, untuk tempoh sembilan bulan kebelakangan ini.
Perintah Darurat diisytiharkan pada 12 Januari dengan tujuan mengekang wabak, namun jumlah kes harian terus meningkat hingga mencapai rekod tertinggi. Kegagalan ini melibatkan nyawa rakyat secara langsung. Data kematian pada 2 Jun 2021 telah mencatat tiga angka dan rekod tertinggi.
Prof Dr Adeeba Kamarulzaman yang merupakan ahli dalam World Health Organisation Science Council telah menyatakan yang ramalan trajektori menunjukkan yang Malaysia berhadapan dengan risiko kematian mencecah 26,000 menjelang September 2021 jika keadaan berterusan begini.
Situasi dalam negara adalah amat genting dan nyawa rakyat berhadapan dengan risiko yang serius dan bukan lagi sekadar kehilangan pendapatan dan sara hidup.
Nyawa rakyat TIDAK harus dipertarungkan kerana mempertahankan nafsu dan ego politik kerajaan pemerintah masa kini. Segala polisi yang dibuat tidak menjadi malahan menyebabkan kucar kacir, menyusahkan rakyat dan tidak mendatangkan kesan.
Defisit kepercayaan rakyat yang semakin meningkat kini menjurus ke arah ancaman terhadap kestabilan dan ekonomi negara ini. Sistem penjagaan kesihatan awam berada pada tahap kritikal dan membimbangkan, serta petugas barisan hadapan sedang menanggung beban kerja berlebihan yang melampau.
Rakyat bukan sahaja menghadapi tekanan hidup malahan menuju kepada tekanan mental yang serius.
Kerajaan PN perlu berdepan dengan realiti kegagalan ini dan berhenti berselindung dengan kuasa politik yang keabsahannya dipertikaikan. Kuasa Jemaah Menteri perlu digantung sementara.
Demi menyelamatkan negara dan rakyat, Pejuanita Malaysia menggesa agar urus tadbir negara diambil alih oleh satu badan khas yang berwibawa dan berintegriti ditubuhkan bagi mengawal wabak Covid-19.
Badan ini perlu dianggotai oleh semua sektor yang pakar dari pelbagai bidang yang diperlukan, ahli profesional/ korporat, penjawat awam, ahli politik dari pelbagai parti selain dari parti pemerintah dan wakil badan-badan bukan kerajaan.
Negara perlu kepada polisi yang jelas dan berkoordinasi dalam berdepan dengan wabak Covid 19. Bukan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bercanggah dan mengelirukan dan meletakkan nyawa rakyat dalam risiko.
Pemberian vaksin yang cepat dan menyeluruh amat perlu disegerakan bagi meningkatkan imuniti kelompok. Utamakan pemberian vaksin bukan pendaftaran janji temu.
Koordinasi dan penggemblengan sumber tenaga di antara kementerian dan agensi di bawahnya serta antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri amat perlu dalam menguruskan vaksinasi dengan pantas, bagi membolehkan negara kembali kepada urusan pemulihan ekonomi.
Parlimen perlu kembali bersidang segera dan sistem demokrasi berparlimen dihidupkan. Yang di-Pertuan Agong pada bulan Februari tahun ini telah menyatakan bahawa Parlimen dibenarkan kembali bersidang ketika tempoh darurat.
Masalah rakyat perlu dibincangkan di Parlimen dan diambil tindakan, bukan dibincangkan di media sosial dan Menteri juga menjawab dalam media sosial.
Perbelanjaan wang negara perlu dibuat dengan telus dan bukan berselindung di sebalik situasi darurat. Rakyat perlu kepada sistem komunikasi yang jelas dan boleh difahami.
Para pemimpin negara dan ahli politik perlu ketepikan perbezaan politik dalam menangani krisis kesihatan awam yang paling besar yang pernah melanda negara setakat ini.
Beban dan tanggungjawab pemulihan negara ini bukan hanya berada di atas bahu para pemimpin semata-mata, malahan setiap seorang daripada kita.
Kami percaya rakyat bersedia membantu kerajaan dalam usaha mengekang wabak dengan cara melaksanakan sekatan pergerakan kendiri sekiranya arahan yang diberi jelas dan tidak merumitkan. – 3 Jun, 2021.
* Che Asmah Ibrahim, ketua Pejuanita.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen