Kadar jangkitan turun buat hari ke-5, kata Dr Noor Hisham


Semalam kementerian kesihatan melaporkan 7,703 kes baharu, berbanding 5,777 yang telah pulih selain 126 lagi maut akibat Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 3 Jun, 2021.

KADAR kebolehjangkitan Covid-19 (r-naught) di Malaysia menunjukkan penurunan stabil buat hari kelima berturut-turut, setelah jatuh 0.01 peratus menjadi 1.06 pada 2 Jun, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Labuan, yang merupakan antara negeri terkecil melaporkan jumlah tertinggi 1.49.

Semua negeri melaporkan jumlah nilai kebolehjangkitan melebihi 1.0.

Nilai RO menunjukkan jumlah jangkitan baharu yang dianggarkan berpunca dari satu kes.

Kes harian kekal sekitar 7,500 untuk purata tujuh hari.

Malaysia menyaksikan peningkatan pada 25 Mei, ketika nilai kebolehjangkitan mencapai 1.16 dengan 9,020 kes dilaporkan.

Bagaimanapun, jumlah harian menunjukkan penurunan mendadak kepada 6,999 pada keesokan harinya setelah nilai RO jatuh ke 1,12.

Semalam kementerian kesihatan melaporkan 7,703 kes baharu, berbanding 5,777 yang telah pulih selain 126 lagi maut akibat Covid-19.

Sejak pandemik bermula hingga semalam, sejumlah 12.26 juta sampel diambil dan kadar positif adalah 4.79% atau 587.165 orang didapati positif Covid-19.

Bagi ujian saringan harian, 100,288 ujian dibuat semalam dengan kadar positif 7.68%. – 3 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen