PENJENAYAH siber menyerang perkhidmatan feri di Massachusetts, Amerika Syarikat pada Rabu, mengganggu perkhidmatan antara beberapa komuniti pesisir di situ.
Steamship Authority of Massachusetts melaporkan serangan ransomware telah mengakibatkan perkhidmatan feri antara Cape Cod dan pulau-pulau Nantucket dan Martha’s Vineyard tertunda.
“Tidak ada impak terhadap keselamatan operasi kapal, kerana masalah ini tidak mempengaruhi fungsi radar atau GPS,” tulis syarikat itu melalui Twitter.
Serangan siber tersebut sebahagiannya mengganggu sistem pembayaran, mengubah sistem pembayaran kepada tunai di mana syarikat itu terpaksa mengumumkan kemampuan memproses kad kredit terbatas.
Melalui Facebook, The Steamship Authority berkata pihaknya “terus bekerjasama dengan pasukan sendiri selain dengan pegawai tempatan, negeri, dan persekutuan, bagi menangani kejadian ransomware hari ini.
“Pada waktu ini, kami tidak dapat mengeluarkan atau mengesahkan perincian lanjut mengenai apa yang berlaku,” kata kenyataan itu.
Pejabat FBI di Boston tidak memberi sebarang komen ketika dihubungi AFP.
Juga pada Rabu, sistem tren dan bas bandar New York, Metropolitan Transportation Authority (MTA), berkata ia digodam pada 20 April.
Namun tambanya, hanya sedikit sahaja masalah, malah penumpang tidak berisiko.
Audit selepas serangan itu tidak menunjukkan tanda-tanda sistem operasi telah terjejas, atau penggodam mengakses maklumat pelanggan atau pekerja, kata ketua teknikal MTA, Rafail Portnoy.
Serangan siber terbaharu ini diumumkan hanya beberapa hari selepas serangan ransomware ke atas anak syarikat AS, gergasi pembungkus daging milik Brazil, JBS.
Serangan siber JBS melumpuhkan sebahagian operasinya di Amerika Syarikat dan memberi kesan kepada ribuan pekerja di Australia.
Presiden AS Joe Biden pada Rabu berkata beliau melihat kemungkinan untuk membalas serangan itu setelah Rumah Putih mengaitkan Rusia dengan serangan JBS.
FBI mengaitkan serangan siber itu sebagai “REvil dan Sodinokibi,” yang menurut pakar adalah dua nama untuk kumpulan penggodam sama berkait dengan Rusia.
Bulan lalu penggodam ransomware memaksa penutupan sementara saluran paip minyak di timur AS.
Penutupan saluran paip selama beberapa hari itu mencetuskan pembelian panik di beberapa negeri timur, dan berakhir ketika syarikat itu membayar wang tebusan AS$4.4 juta kepada penggodam.
Pihak berkuasa AS menyalahkan serangan itu terhadap kumpulan penjenayah siber bernama DarkSide yang dipercayai berpusat di Rusia - namun ia dinafikan Moscow. – AFP, 3 Jun, 2021.
Komen