Pembunuh George Floyd berdepan penjara 30 tahun


Bekas pegawai polis berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun kerana disabitkan kesalahan membunuh George Floyd, seorang lelaki kulit hitam yang tidak bersenjata tahun lalu. – Gambar AFP, 3 Jun, 2021.

BEKAS pegawai polis berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun kerana disabitkan kesalahan membunuh George Floyd, seorang lelaki kulit hitam yang tidak bersenjata tahun lalu.

Peguam tertuduh Derek Chauvin bagaimanapun meminta hukuman lebih ringan dan mendakwa tertuduh tidak bersalah kerana “kesilapan itu disebabkan tujuan yang baik”.

Dalam dokumen mahkamah menjelang keputusan 25 Jun ini pendakwa raya berkata tindakan Chauvin, 45, itu sebagai “penyalahgunaan kedudukan yang serius” serta “tingkah laku yang kejam”.

Mereka juga berkata bahawa Hakim Peter Cahill sudah memutuskan empat faktor membabitkan kes berkenaan yang dilihat mampu menjadi garis panduan terhadap peraturan sedia ada dengan hukuman yang lebih berat.

Chauvin sebelum ini dirakam meletakkan lutut di leher Floyd, 46, selama sembilan minit sehingga mangsa pengsan sebelum meninggal dunia pada 25 Mei tahun lalu, yang turut mengabaikan rayuan mangsa.

Video itu kemudiannya tular dan mencetuskan protes besar-besaran di seluruh Amerika Syarikat serta sekitar dunia yang menentang ketidakadilan kaum serta keganasan polis.

Selepas perbicaraan berminggu-minggu, Chauvin disabitkan kesalahan membunuh pada 20 April lalu dan dipenjara serta-merta.

Tuduhan paling serius dihadapinya – pembunuh peringkat kedua – yang membawa hukuman maksimum penjara 40 tahun.

Walaupun berdepan kesalahan pertama, Chauvin berkemungkinan dipenjara lebih 12 tahun mengikut pendakwaan namun tuduhan lebih serius juga memungkinkan dia menerima hukuman lebih lama.

Chauvin juga berdepan tuduhan hak sivil persekutuan yang berasingan susulan kematian Floyd. – AFP, 3 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen