Tentera AS bunuh 23 orang awam tahun lepas, kata Pentagon


Jumlah ini jauh lebih sedikit berbanding jumla dikeluarkan oleh NGO. – Gambar AFP, 3 Jun, 2021.

TENTERA Amerika Syarikat pada Rabu mengaku bertanggungjawab membunuh 23 orang awam secara tidak sengaja di zon-zon perang pada 2020, jauh lebih sedikit berbanding yang dikumpulkan badan bukan kerajaan (NGO).

Jumlah itu termasuk kematian orang awam dalam operasi di Iraq, Afghanistan, Somalia, Yaman dan Nigeria, menurut laporan Pentagon.

Jabatan Pertahanan AS “menilai terdapat kira-kira 23 orang awam terbunuh dan 10 orang awam cedera pada 2020 berikutan operasi ketenteraan AS,” menerangkan sebahagian dokumen tersebut, laporan tahunan yang diperlukan Kongres sejak 2018, walaupun sebahagian daripadanya tetap dirahsiakan.

Sebahagian besar korban awam berlaku di Afghanistan, di mana Pentagon berkata ia bertanggungjawab atas 20 kematian, menurut laporan itu.

Satu orang awam terbunuh di Somalia pada Februari 2020 dan seorang lagi di Iraq pada Mac. Dokumen yang dikeluarkan kepada umum tidak menyatakan bila atau di mana mangsa ke-23 dibunuh.

Dokumen itu turut mendedahkan walaupun Kongres memperuntukkan AS$3 juta kepada Pentagon pada 2020 untuk pampasan kewangan kepada keluarga mangsa terkorban, namun pampasan tidak dibayar.

NGO secara berkala menerbitkan jumlah kematian orang awam yang jauh lebih tinggi di kawasan di mana tentera AS aktif di seluruh dunia.

NGO Airwars menyenaraikan mangsa serangan udara, berkata anggaran mereka menunjukkan 102 orang awam maut dalam operasi AS di seluruh dunia – lima kali ganda tinggi daripada angka rasmi Pentagon.

Misi Bersatu di Afghanistan (UNAMA) menghitung 89 maut dan 31 cedera dalam operasi pasukan tentera bersekutu pimpinan AS, kata Airwars.

Di Somalia, di mana Pentagon berkata hanya satu orang awam maut, Airwars dan NGO lain pula menganggarkan jumlah kematian seramai 7 orang, sementara di Syria dan Iraq sumber tempatan melaporkan 6 orang mati, kata NGO itu.

“Jelas siasatan dan dakwaan Jabatan Pertahanan tidak mencukupi,” kata Hina Shamsi, anggota Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika (ACLU).

“Sangat mengejutkan pada 2020, Jabatan Pertahanan tidak menawarkan atau membuat pembayaran ganti rugi kepada orang awam dan keluarga mangsa walaupun dapat dana dari Kongres,” katanya yang mengetuai Projek Keselamatan Nasional ACLU. – AFP, 3 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen