Vaksinasi kanak-kanak 12 tahun ke atas, kata pakar kesihatan


Ragananthini Vethasalam

Kita boleh lindungi anak-anak kita, dan mereka dapat kembali bersekolah, kata pakar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Jun, 2021.

PARA pakar kesihatan mengesyorkan vaksinasi dilakukan kepada rakyat berumur 12 tahun ke atas setelah lebih 80,000 kanak-kanak dan remaja di negara ini dijangkiti Covid-19.

Singapura akan menawarkan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech kepada mereka yang berumur antara 12 hingga 17 tahun tidak lama lagi.

Justeru, pakar kesihatan berkata Malaysia perlu mengikut langkah tersebut.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Dr Zainal Ariffin Omar berkata Malaysia perlu mempertimbangkan langkah itu secepat mungkin memandangkan jumlah jangkitan yang tinggi di kalangan kanak-kanak dan remaja.

“Jadi, kita boleh melindungi anak-anak kita dan mereka boleh kembali bersekolah. Mereka ketinggalan banyak hari persekolahan sejak tahun lalu,” katanya.

“Sekarang ini, hanya vaksin Pfizer yang dicadang untuk digunakan pada kanak-kanak (12 tahun ke atas). Kerajaan perlu kaji semula dasar sedia ada,” katanya.

Ahli Virologi Dr Chee Hui Yee dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Putra Malaysia berkata imunisasi untuk kanak-kanak perlu dipertimbangkan apabila sebahagian besar populasi dewasa telah divaksinasi.

Tambahnya, gejala di kalangan kanak-kanak dan remaja terutama yang ringan dan ujian klinikal telah dilakukan buat mereka yang berumur 12 tahun ke atas.

Dari 25 Januari 2020 hingga Mei 2021, sebanyak 82,341 kes dilaporkan di kalangan kanak-kanak dan remaja berusia antara 0 hingga 17 tahun.

Menurut statistik Kementerian Kesihatan, terdapat 19,851 kes di kalangan kanak-kanak di bawah empat tahun, 8,237 kes yang berumur antara lima hingga enam tahun dan 26,851 kes antara tujuh dan 12. Lingkungan umur 13 hingga 17 tahun ada 27,402 kes.

Pada 31 Mac, Pfizer-BioNTech berkata, ketika melancarkan ujian klinikal Tahap 3, vaksin telah menunjukkan 100% keberkesanan dan tindak balas antibodi yang kuat di kalangan remaja berusia antara 12 dan 15 tahun.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat  turut mengesyorkan vaksin digunakan pada kanak-kanak berusia antara 12 dan 15 tahun.

Menurut statistik Kementerian Kesihatan, terdapat 19,851 kes di kalangan kanak-kanak di bawah empat tahun, 8,237 kes yang berumur antara lima hingga enam tahun dan 26,851 kes antara tujuh dan 12. Lingkungan umur 13 hingga 17 tahun ada 27,402 kes. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Jun, 2021.

Di Malaysia, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah melarang kanak-kanak di bawah usia 12 tahun keluar ke tempat awam dalam tempoh sekatan pergerakan penuh selama dua minggu yang bermula pada 1 Jun.

Kanak-kanak dilarang dari mana-mana premis dan kemudahan awam kecuali untuk dengan tujuan kecemasan, rawatan perubatan, pendidikan dan senaman. – 3 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen