Hampir 200,000 rakyat Palestin perlukan bantuan kesihatan


Hampir 200,000 penduduk Palestin memerlukan bantuan kesihatan selepas wilayah itu diserang Israel bulan lalu. – Gambar EPA, 3 Jun, 2021.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) semalam memberi amaran mengenai “keperluan kesihatan yang mengejutkan” di Palestin selepas konflik bulan lalu.

“WHO meningkatkan keprihatinan mereka untuk memberikan bantuan kesihatan bagi hampir 200,000 orang yang memerlukan di seluruh wilayah Palestin,” kata pejabat WHO wilayah Mediterania Timur dalam satu kenyataan.

“Situasi tidak menentu. WHO tetap prihatin dan meminta akses tanpa had untuk bekalan serta kakitangan penting yang berkaitan dengan kemanusiaan dan pembangunan Gaza serta rujukan pesakit keluar dari Gaza apabila diperlukan,” kata Ketua WHO bagi Tebing Barat dan Gaza, Rik Peeperkorn 

Ketegangan antara Israel dan Palestin meningkat selama 11 hari apabila rejim Yahudi membedil kawasan Palestin.

Serangan Israel itu menyebabkan 254 penduduk Palestin terkorban termasuk 66 kanak-kanak serta beberapa pejuang, kata pihak berkuasa.

“Lebih 77,000 orang hilang tempat tinggal dan kira-kira 30 kemudahan kesihatan rosak dalam serangan itu,” menurut kenyataan WHO.

Peeperkorn berkata kehidupan rakyat Palestin semakin merosot apabila ramai yang terkesan akibat serangan memerlukan bantuan serta berdepan ancaman kesihatan lain seperti Covid-19.

WHO berkata bahawa pada 31 Mei, sebanyak 337,191 kes dan 3,765 kematian dilaporkan dengan kes positif meningkat di Gaza dalam beberapa minggu terakhir. – 3 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen