Usah buang masa uji vaksin, kata Dr Mahathir


Malaysia juga perlu bertindak lebih agresif dengan mengadakan pusat vaksinasi bergerak untuk menemui penerima yang tidak dapat tampil mendapatkan pelalian, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2021.

KERAJAAN perlu meluluskan dan menggunakan semua vaksin untuk memastikan liputan pelalian lebih luas bagi mencapai imuniti kelompok, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau kesal kerana sehingga hari ini terdapat vaksin yang masih belum diluluskan walau keberkesanannya terbukti di negara maju.

“Saya berharap usaha dibuat untuk guna semua vaksin. Saya dengar vaksin dari Rusia ini belum lagi dilulus.

“Saya dapati vaksin yang diguna negara lain dan mendapat hasil baik tak payahlah kita buat ujian lain supaya kita nak tentukan, nak tanya soal itu soal ini.

“Kalau ia boleh digunakan di negara maju seperti Britain dan Amerika Syarikat, kita guna sajalah,” katanya dalam satu kenyataan melalui video di YouTube.

Tambahnya, Malaysia juga perlu bertindak lebih agresif dengan mengadakan pusat vaksinasi bergerak untuk menemui penerima yang tidak dapat tampil mendapatkan pelalian.

“Jangan tunggu sehingga orang datang, kita pergi kepada mereka. Takkanlah kerajaan tak boleh sewa bas atau kereta dan tak perlu terlalu banyak orang.

“Kita mempunyai ribuan doktor. Satu doktor di satu tempat mencukupi untuk hantar pasukan vaksin ke kampung-kampung di mana orang tua tak boleh keluar,” katanya.

Beliau memberi contoh kawasan satu pulau dihuni ramai orang tua dan daif di Pulau Tuba, dalam kawasan diwakilinya di Langkawi.

Pasukan khas perlu memasuki kawasan seperti itu untuk menyampaikan pelalian kerana penduduk berkenaan sukar untuk keluar dari kawasan tersebut, katanya.

Tiga vaksin yang diluluskan untuk kegunaan di Malaysia pada masa ini terdiri daripada produk keluaran Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac.

Vaksin CoronaVac keluaran firma China Sinovac merupakan produk terbaru yang diluluskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Badan dunia itu dilaporkan akan memeriksa pusat pengeluaran vaksin Sputnik V di Rusia pada Mei.

Pemberian vaksin dalam negara kini diselia Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Ia menggunakan vaksin yang lulus ujian dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia.

JKJAV semalam mengumumkan Malaysia akan menerima 16 juta dos vaksin menjelang Julai.

Ia merangkumi 2.2 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech, 12 juta dos vaksin Sinovac dan 1.2 juta dos AstraZeneca.

Sehingga 31 Mei, lebih 3 juta dos vaksin diberikan, dan membolehkan lebih 1 juta menerima vaksin lengkap.

Sehingga 31 Mei lalu, lebih 12 juta orang mendaftar untuk menerima vaksin. – 2 Jun, 2021.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen