.jpg)
REALITINYA, kerajaan kelihatan lemah dan tidak mampu menguruskan pandemik Covid-19 bermula Mac 2020 lebih-lebih lagi dalam situasi terkini;
a. Tidak mampu membuka Parlimen kerana takut kerajaan runtuh (undi tak percaya);
b. Peningkatan sehingga lebih dari 9000 kes sehari, 2867 kematian dengan lebih dari 71 kematian sehari pada 1 Jun 2020;
c. Gagal memaksa bank memberi moratorium automatik ketika ‘total lockdown’ dilaksanakan bermula 1 Jun 2021.
Mengapa semua ini terjadi sedangkan kerajaan yang disebut-sebut hari ini adalah kerajaan yang terdiri daripada 98% Melayu-Islam?
Adakah kerajaan Melayu-Islam ini lebih lemah serta tidak kompeten untuk memimpin negara lebih-lebih lagi ketika negara berdepan krisis kesihatan dan krisis ekonomi berbanding kerajaan sebelum ini?
Mengapa tiada bantahan keras terhadap Israel dan Amerika ketika Israel mengebom rumah di Gaza dan membunuh kanak-kanak Palestin selama 11 hari pada ambang Aidilfitri yang lalu?
Memandangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah kerajaan yang dipimpin 98% Melayu-Islam, adalah tidak masuk akal jika kerajaan pimpinan parti Islam ini berdiam diri dan mengambil posisi selamat ketika seluruh dunia mengecam dan membantah dengan keras?
Ketika Israel sibuk mengebom dan membunuh warga Gaza, mencemari dan menceroboh Masjid Al-Aqsa, mengapa kerajaan tidak memimpin negara Islam dan kesatuan OIC untuk mendesak Israel menghentikan pembunuhan?
Mengapa Malaysia tidak menggunakan pengaruhnya untuk mempengaruhi negara lain seperti Arab Saudi dan Turki dan menjadi watak utama untuk mengemudi krisis dunia?
Mengapa kerajaan yang dipimpin 98% Melayu-Islam hari ini membenarkan ruang udaranya digunakan oleh pesawat pengintip Israel? Sedangkan parti PAS sebelum ini adalah yang terkehadapan ketika membuat bantahan mengenai Israel di hadapan kedutaan Amerika sejak 1980-an?
Mengapa polisi anti-Israel ini berubah nada setelah parti PAS menganggotai Kabinet PN?
Mengapa kerajaan membenarkan 16 pesawat negara China memasuki ruang udara Sabah dan Sarawak pada 1 Jun 2021 yang lalu? Isu ini adalah isu yang serius dan melibatkan kedaulatan negara. Lebih-lebih lagi ianya melibatkan negara China, adalah suatu yang sangat pelik jika parti PAS sekali lagi berdiam diri ketika mereka berada di puncak kuasa dan menjadi sebahagian dari kerajaan.
Mengapa jumlah vaksinasi di negeri-negeri PAS dilihat sangat rendah dengan lebih dari 10,000 rakyat tidak hadir di negeri Kelantan dan Terengganu?
Ini adalah situasi yang sangat menyedihkan ketika negara sedang mengalami krisis kesihatan dan ekonomi, dalam masa yang sama negeri-negeri PAS pula dilihat tidak memainkan peranan memberi penjelasan untuk memastikan seramai mungkin rakyat di negeri mereka menyertai program vaksinasi negara.
Rakyat sedar bahawa kerja memimpin negara adalah satu tanggungjawab berat tetapi dalam masa yang sama ini adalah peluang untuk parti PAS menonjol dan memimpin anak muda di negara ini.
Malangnya menteri yang lebih terkedapan hari ini dari sudut idea dan pelaksanaan kebanyakannya datang dari parti Umno, bukannya parti PAS. Misalnya rakyat tidak kenal seorang pun Menteri dari parti PAS yang boleh dijadikan contoh untuk membantu rakyat ketika negara dilanda krisis ekonomi dan kesihatan hari ini.
Mengapa ini berlaku sedangkan parti PAS mempunyai peluang untuk lebih menonjol?
Kami menanti jawapan. – 2 Jun, 2021.
* Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Perak
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen