Potong juga elaun ahli Parlimen, kata senator


Sekarang waktu sesuai untuk semua Yang Berhormat menunjukkan teladan baik, bersedia berkorban demi rakyat dan negara, kata Ketua Pemuda Perikatan Nasional Khairil Nizam Khirudin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2021.

SEMUA ahli Parlimen patut menyumbang juga elaun mereka untuk membantu negara membiayai perbelanjaan berkaitan usaha menangani penularan Covid-19, kata Ketua Pemuda Perikatan Nasional Khairil Nizam Khirudin.

Khairil adalah juga senator, yang dilantik ke Dewan Negara pada hujung Disember 2020.

“Sekarang adalah waktu yang amat sesuai untuk semua Yang Berhormat menunjukkan contoh teladan yang baik dan bersedia untuk berkorban demi rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, amalan kepimpinan melalui teladan adalah tindakan yang paling tepat bagi barisan kepimpinan negara yang komited bekerja untuk rakyat dan negara dalam keadaan yang kritikal sekarang.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS membuat seruan itu selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kelmarin mengumumkan semua menteri dan timbalan menteri tidak akan mengambil gaji selama tiga bulan sehingga Ogos.

“Gaji yang tidak diambil ini akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19,” kata perdana menteri dalam perutusan khas bantuan PKP 3.0, yang disiarkan secara langsung melalui televisyen pada Isnin.

Ini adalah kali kedua jemaah menteri Muhyiddin tidak mengambil gaji semasa PKP dan menyalurkannya untuk Tabung Covid-19.

Pada 25 Mac 2020, mesyarat Jemaah Menteri memutuskan pemotongan dua bulan gaji Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri untuk disalurkan ke Tabung Covid-19.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali turut mengumumkan potongan elaun keraian kira-kira 800,000 penjawat awam mengikut gred perkhidmatan, dari RM10 hingga 50% bagi kumpulan pengurusan kanan tertinggi.

Pengumuman itu disokong oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang juga membuat gesaan sama sehari sebelumnya. – 2 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen