BERBEKALKAN rupa wajah menarik dan langkah menakjubkan, pasukan sorak wanita Korea Utara adalah gambaran yang bertentangan dengan cita-cita nuklear menggerunkan negara itu.
Dianggap “tentera cantik” di Korea Selatan, wanita muda Korea Utara-kebanyakannya berusia awal 20-an dan remaja belasan tahun- menarik perhatian ramai setiap kali mereka dihantar ke Selatan.
Ri Sol-Ju, isteri kepada Kim Jong Un adalah antara ahli kumpulan itu yang menghadiri Kejohanan Atletik Asia 2005 di Incheon.
Pasukan sorak itu bakal membuat kemunculan keempat di Selatan selepas Pyongyang bersetuju menghantar delegasi ke Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, hanya 80 kilometer dari selatan Zon Genjatan Senjata yang memisahkan dua negara itu.
Korea Utara dan Selatan berpisah sejak berakhirnya Perang Korea pada 1953, dan tidak mempunyai medium komunikasi termasuklah telefon atau pos di antara mereka.
Delegasi Korea Utara yang dihantar ke Selatan dipilih dengan teliti oleh Pyongyang, dan pergerakan mereka dikawal ketat di sana. Menurut laporan, delegasi Olimpik Musim Sejuk itu mungkin ditempatkan di sebuah kapal persiaran di Sokcho, memudahkan pemantauan dilakukan.
An Chan-II, seorang pengkaji yang berpaling tadah dari Korea Utara yang kini menguruskan Institut Dunia untuk Pengajian Korea Utara mengatakan ahli pasukan sorak itu dipilih sendiri rejim berdasarkan kriteria yang ketat.
“Mereka mesti lebih daripada 163 cm tinggi dan berasal dari keluarga yang baik,” katanya kepada AFP.
“Mereka yang bermain alat musik akan membentuk kumpulan dan yang lainnya adalah pelajar universiti elit, Universiti Kim II-Sung.” – AFP, 11 Januari, 2018.
Komen