Kemas kini segera SOP sektor pertanian


SAYA amat kecewa terhadap tindak balas Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) berhubung isu SOP (prosedur operasi standard) khusus untuk sektor pertanian, perikanan, dan penternakan.

Setakat 1 Jun 2021, iaitu permulaan “Total Lockdown” di seluruh negara bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, Mafi masih gagal menggariskan SOP dan panduan khusus untuk sektor tersebut yang merupakan pembekal utama makanan dan juga bahan mentah untuk industri berasaskan makanan.

Portal rasmi Mafi hanya memaparkan SOP Am Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terbaru yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Namun begitu, SOP Am PKP yang ditetapkan oleh MKN itu tidak menunjukkan penerangan dan panduan yang perinci untuk sektor pertanian, perikanan, dan penternakan. Ini bermakna Mafi harus menggariskan SOP khusus yang bersesuaian norma sektor tersebut.

SOP Am yang kurang jelas bukan sahaja telah mengakibatkan kekeliruan di antara pengusaha-pengusaha dalam sektor tersebut, tetapi juga kepada pihak penguatkuasa seperti PDRM, Pihak Berkuasa Tempatan dan penguatkuasa Pejabat Kesihatan Daerah kerana kekurangan rujukan dan penerangan bagi memastikan sektor ekonomi pertanian boleh berjalan mengikut standard ditetapkan.

Sebagai contoh, waktu operasi bagi pengusaha pertanian di Cameron Highlands masih dihadkan dari jam 8 pagi hingga 8 malam oleh SOP Am PKP yang ditetapkan oleh MKN. 

Apabila Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands, Ishak Md Napis dihubungi oleh Malaysiakini, beliau pun mengaku bahawa MDCH hanya mengikut waktu operasi yang ditetapkan oleh MKN.

Hal ini adalah tidak bersesuaian dengan norma sektor pertanian khususnya tanaman sayur-sayuran kerana sayuran adalah barang cepat rosak (fresh food) dan perlu dikutip pada waktu yang sesuai untuk menjaga kesegarannya.

Proses pembungkusan dan penghantaran sayur-sayuran pasti akan terjejas sekiranya kerajaan mengehadkan waktu operasi bagi sektor tersebut.

Sebagai contoh, jika produk dihantar ke Singapura atau Kuala Lumpur, petani hanya akan memetik sayur pada waktu petang dan membungkus sayur-sayuran pada waktu malam. Kemudian pemandu akan menghantar produk berkenaan pada tengah malam supaya sayur-sayuran segar dapat dibekalkan ke pasar pada awal pagi.

Kalau kerajaan tidak memberi fleksibiliti kepada waktu operasi pengutipan, pembungkusan dan penghantaran sayur-sayuran, bagaimanakah kita boleh memastikan kesegaran sayur-sayuran yang dibekalkan ke seluruh negara ini?

Oleh itu,  saya menggesa Mafi supaya segera menggariskan SOP khusus yang bersesuaian norma sektor pertanian, perikanan dan penternakan bagi menjamin kepentingan pengusaha sektor tersebut di sisi undang-undang dan tidak menimbulkan kekeliruan pihak penguatkuasa. – 2 Jun, 2021.

* Chiong Yoke Kong, Adun Tanah Rata


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen