Hampir 90% kematian akibat Covid-19 melibatkan warga emas, kata KKM


Ravin Palanisamy

Data KKM mengenai 2,867 kematian akibat Covid-19 menunjukkan kesakitan jadi lebih parah di kalangan warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit lain.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2021.

DATA Kementerian Kesihatan mengenai 2,867 kematian akibat Covid-19 sehingga kini menunjukkan kesakitan jadi lebih parah di kalangan warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit sedia ada lain.

Infografik kematian bertarikh 1 Jun yang diberikan kepada The Malaysian Insight dari seorang pegawai kementerian menunjukkan 88% atau 2,510 kematian melibatkan warga berumur 50 tahun ke atas.

88% kematian atau 2,504 kematian itu juga kerana ada lebih dari satu penyakit.

Manakala 85% atau 2,055 berada di Tahap 4 dan 5 jangkitan Covid-19, memerlukan alat bantuan pernafasan.

Infografik kematian bertarikh 1 Jun yang diberikan kepada The Malaysian Insight dari seorang pegawai kementerian menunjukkan 88% atau 2,510 kematian melibatkan warga berumur 50 tahun ke atas. – Infografik Kementerian Kesihatan Malaysia, 2 Jun, 2021.

Sejak bermulanya pandemik tahun lalu, jumlah kematian pada 1 Jun adalah sebanyak 2,867 orang. Rekod kematian harian tertinggi adalah 98 kematian iaitu pada 29 Mei.

Jumlah kematian ini adalah sebanyak 0.49% daripada keseluruhan 579,462 kes Covid-19 di negara ini.

Data lain menunjukkan 14% atau 407 dari jumlah kematian adalah mereka yang meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital (BID).

Kematian berdasarkan jantina menunjukkan 63% atau 1,797 kematian yang dilaporkan adalah lelaki.

Warga paling tua di Malaysia yang maut akibat Covid-19 adalah warga asing Talib Omar, berusia 130 tahun dan meninggal dunia pada 28 November tahun lalu. Dia meninggal di Tuaran, Sabah, dan tidak memiliki dokumen rasmi. Kementerian Kesihatan memperoleh maklumat ini dari keluarganya dan pihak berkuasa tempatan.

Media telah membuat spekulasi bahawa dia mungkin orang tertua di dunia yang mati kerana Covid-19.

Pada 4 Februari tahun ini, koronavirus juga telah meragut mangsa termuda di Malaysia, seorang bayi empat bulan di Sabah.

Pada Isnin, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata sejumlah 82,341 kes Covid-19 dilaporkan di antara mereka yang berusia bawah 18 tahun sejak bermulanya pandemik.

Setakat semalam, kes aktif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 80,474, di antaranya 872 di unit rawatan rapi (ICU).

Bagi program imunisasi Covid-19 kebangsaan pula, pada 1 Jun, seramai 2,002,345 orang telah menerima dos pertama vaksin, sementara 1,104,873 individu telah menerima dos kedua. – 2 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen