PRESIDEN Turki Recep Tayyip Erdogan memberi amaran Amerika Syarikat (AS) berisiko “kehilangan sahabat berharga” jika cuba memberi tekanan kepadanya.
Kenyataan itu dibuat dua minggu sebelum pertemuan pertamanya dengan rakan sejawatnya di AS, Joe Biden.
Hubungan tegang antara kedua-dua negara ahli Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu semakin merosot sejak Biden menggantikan penyokong Erdogan, Donald Trump, Januari lalu.
Ia berikutan tindakan Biden mempertikaikan laporan hak asasi manusia Turki, yang disifatkannya sebagai amat buruk.
Ketika ditanya mengenai hubungan Ankara-Washington, Erdogan berkata”‘mereka yang menolak Republik Turki akan kehilangan teman berharga”.
Pendirian tegang Erdogan itu dinyatakan menjelang pertemuan pertama antara dua pemimpin terbabit di luar sidang kemuncak NATO di Brussels pada 14 Jun.
Sementara itu, Biden tidak terburu-buru untuk bercakap dengan pemimpin Turki itu selepas menjawat jawatan dan hanya menghubungi Erdogan April lalu.
Panggilan itu juga secara kebetulan dibuat menjelang keputusan bersejarah Biden mengiktiraf pembunuhan beramai-ramai Armenia oleh kerajaan Uthmaniyah semasa Perang Dunia I, satu tindakan memalukan Turki, yang menolak istilah itu.
“Apa alasan ketegangan dengan AS? Apa yang disebut pembunuhan beramai-ramai Armenia.
“Tidakkah anda mempunyai masalah lain untuk ditangani daripada menyokong Armenia?,” katanya.
Erdogan juga menyenaraikan beberapa isu yang merenggangkan hubungan sejak 2016, termasuk sokongan AS kepada militan Kurdi di Syria yang dianggap Turki sebagai pengganas.
“Jika AS memang sekutu kita, haruskah mereka berdamping dengan pengganas atau bersama kita? Sayangnya, mereka terus menyokong pengganas,” katanya.
Erdogan sebelum ini menunjukkan beliau ingin memperbaiki hubungan dengan Biden dan berkata pertemuan mereka akan menjadi pertanda era baharu dalam hubungan AS-Turki. – AFP, 2 Jun, 2021.
Komen