SELEPAS melancarkan pinjaman besar mereka untuk menolong negara-negara parah dilanda Covid-19 tahun lalu, IMF dan Bank Dunia kini menumpukan pada pemberian vaksin kepada negara-negara miskin bagi mencegah pandemik daripada menggagalkan pemulihan ekonomi global.
Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Kristalina Georgieva sedang giat dalam usaha sama AS$50 bilion dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memperluas akses vaksin, terutama buat negara-negara miskin.
Georgieva pada Jumaat akan mengemukakan cadangan itu kepada menteri-menteri kewangan negara-negara paling kaya G7 dalam pertemuan di London
Cadangan itu turut disokong oleh Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Dunia.
Pada awal krisis Covid-19, IMF dan Bank Dunia memperingatkan pandemik akan mengekang negara-negara miskin, menyebabkan peningkatan ketidakadilan dan kemiskinan.
Kini pemberi pinjaman yang berpusat di Washington itu menyuarakan kebimbangan akses yang tidak adil terhadap vaksin akan melanjutkan lagi pandemik yang telah mengorbankan lebih 3.5 juta populasi dunia.
Negara-negara berpendapatan rendah telah menerima kurang dari satu peratus dos yang diberikan setakat ini, mengakibatkan pertambahan jurang ekonomi, kata Georgieva.
Akibatnya, ia akan memakan masa bertahun-tahun bagi beberapa negara untuk pulih ke tahap sebelum pandemik.
Ekonomi Amerika Latin dan Caribbean tidak akan memperoleh kembali pendapatan per kapita mereka sehingga tahun 2024, kata IMF. – AFP, 2 Jun, 2021.
Komen