Belarus sekat rakyatnya keluar negara


BELARUS berkata ia akan mengenakan lebih sekatan melarang rakyat meninggalkan negara itu, termasuk bagi pemegang permit penduduk asing.

Langkah itu dianggap parti pembangkang sebagai “melanggar undang-undang”.

Perkembangan itu berlaku susulan berpuluh-puluh rakyat Belarus, ada yang secara haram melarikan diri keluar dari negara itu sejak beberapa bulan lalu di tengah-tengah keganasan berlaku dalam negara selepas pilihan raya dimenangi Presiden Alexander Lukashenko pada Ogos 2020.

Pengawal sempadan Belarus berkata ia menerima banyak permohonan untuk keluar dari negara itu atas alas an permit penduduk di luar negara.

Bagaimanapun, katanya hanya rakyat mempunyai dokumen menunjukkan mereka penduduk tetap di negara lain, dibenarkan meninggalkan Belarus.

Katanya, permohonan untuk tinggal sementara bukan alasan kukuh untuk ke luar negara.

Di bawah pentadbiran Lukashenko, yang memerintah negara itu sejak 1994, Belarus mengenakan sekatan terhadap perjalanan ke luar negara sejak Disember 2020, dengan menggunakan alasan pandemik Covid-19.

Perjalanan pesawat kekal dibuka tetapi destinasi dihadkan sejak Kesatuan Eropah melarang pesawat Belarus menggunakan ruang udaranya sejak bulan lalu.

Lithuania yang berjiran dengan Belarus memberikan sokongan kepada rakyat yang melarikan diri ke negaranya dengan memberikan visa enam bulan. – AFP, 2 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen